Sairien Nafis


HUJAN lebat dan ribut semalam menyebabkan Taman Botani Negara, Shah Alam terpaksa ditutup buat sementara waktu hingga hujung bulan ini bagi membolehkan kerja pemulihan dijalankan termasuk memotong pokok berskala besar yang melintangi setiap laluan serta membersihkan beberapa kawasan yang terjejas teruk.

Tinjauan Harian Metro mendapati tapak fasiliti aktiviti sukan lasak Skytrex dan Tapak Hari Keluarga di mana pengunjung menjalankan aktiviti riadah dan Taman Haiwan musnah teruk akibat pokok tumbang.

Pegawai Perhubungan Awam Taman Botani Negara Nurul Wardina Abdullah berkata, pihaknya belum mendapat anggaran kos kerugian secara keseluruhan.

HUJAN lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan sebuah bas di Taman Botani Negara, Shah Alam. FOTO Sairien Nafis
HUJAN lebat serta ribut menyebabkan pokok tumbang dan merosakkan sebuah bas di Taman Botani Negara, Shah Alam. FOTO Sairien Nafis

Katanya, sebuah kenderaan mengalami kerosakan teruk di bahagian cermin depan dan tiga rusa dewasa mati dalam kejadian semalam.

Menurutnya, seramai 80 wakil agensi Kementerian Pertanian seperti Jabatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perhutanan Negeri Selangor dan kakitangan Taman Botani turut bersama bagi membantu kerja pemulihan taman itu.

Taman Botani itu dijangka beroperasi semula pada 1 April depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 7:05 PM