Teoh Pei Ying dan Mohd Fharkhan Abdul Ghapar


BEKAS Menteri Pertanian, Tan Sri Sanusi Junid meninggal dunia ketika dalam persiapan menunaikan solat Subuh, di rumah anaknya di Pantai Dalam, pagi tadi.

Anaknya, Akramsyah Sanusi berkata, Allahyarham ditemui ahli keluarga dalam keadaan terduduk ketika menunggu azan Subuh.

"Malam tadi, beliau kelihatan sihat dan normal. Malah pagi tadi dia bangun dan mengambil wuduk seperti biasa.

"Ketika menunggu azan Subuh, kami jumpa arwah sudah tiada, dia ‘pergi’ dalam keadaan yang baik.." katanya ketika ditemui.

JENAZAH Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid diusung keluar dari rumah anaknya di Zehn Bukit Pantai untuk dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. FOTO Sairien Nafis
JENAZAH Allahyarham Tan Sri Sanusi Junid diusung keluar dari rumah anaknya di Zehn Bukit Pantai untuk dibawa ke Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara. FOTO Sairien Nafis

Menurutnya, Sanusi ada menghidap beberapa penyakit termasuklah masalah jantung.

Akramsyah berkata, jenazah disolatkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara selepas Solat Jumaat dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Allahyarham pernah menjadi Menteri Pembangunan Negara dan Luar Bandar pada 1981 dan Menteri Pertanian pada 1986 sebelum dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 1996 hingga 1999.

Berita berkaitan

Sanusi Junid meninggal dunia

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Mac 2018 @ 11:29 AM