WANI Kayrie. FOTO Faiz Anuar
WANI Kayrie. FOTO Faiz Anuar
Norhayati Nordin

[email protected].

Sejak tahun lalu, penyanyi remaja Wani Kayrie, 18, sudah mula dihimpit cerita gosip percintaannya.

Pernah dikait ‘rapat’ dengan pemain bola sepak, kini hubungan mesra Wani bersama penyanyi dan pelakon, Afieq Shazwan pula jadi perhatian.

Tidak melatah mengenainya, Wani berkata, dia berkawan rapat dengan Afieq kerana selesa dan sudah kenal lama.

Wani atau nama sebenarnya Syazwani Abdullah berkata, setakat ini dia masih tahu menjaga batas diri dan hubungan rapat itu hanya sebagai sahabat.

“Saya baik serta rapat dengan Afieq, itu tidak bermakna kami dalam proses kenal hati budi dan bercinta. Kami berkawan saja.

“Belum masanya saya bercinta dengan sesiapa kerana fokus utama kepada kerjaya. Saya masih terlalu muda dan baru nak mengatur hala tuju hidup,” katanya.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Jangan Jangan dan Aku Suka Kamu ini, dia ada impian yang belum dicapai.

“Kerjaya saya masih jauh dan banyak impian di hati. Jadi, biarlah saya usaha dulu untuk memilikinya kerana peluang tidak datang selalu.

“Bagaimanapun, apa saja tanggapan yang timbul berhubung hubungan rapat saya dengan Afieq, biarlah orang nak kata apa.

“Saya terima saja semuanya dengan terbuka dan positif. Malah, siapa saya untuk menyekat apa yang orang lain fikir?

“Untuk saya, apa yang dilalui kini termasuk tempias gosip itu adalah lumrah sebagai insan seni. Apa yang penting, jangan cepat melatah,” katanya.

Mengulas juga sokongan peminat terhadapnya, Wani berkata, dia syukur hingga kini masih mendapat sokongan padu dan jitu yang tidak berbelah bahagi.

“Terima kasih semua dan teruskanlah menyokong saya. Apa yang boleh dikata, saya akan giat berusaha,” katanya.

Ditanya juga mengenai harapannya untuk sertai pertandingan Liga Dangdut Indonesia, Wani menyerahkan kepada rezeki.

“Kalau ada, saya terima. Tetapi, jika keputusan pemilihan sebaliknya juga saya akan terima dengan hati terbuka.

“Paling utama, saya sudah beranikan diri untuk mencuba nasib. Sekarang saya hanya perlu sabar menunggu keputusan.

“Dijangkakan keputusan peserta dipilih untuk Liga Dangdut Indonesia itu diperoleh sekitar pertengahan September ini,” katanya.

Menurut Wani, dia enggan meletak harapan tinggi kerana sedar bukan mudah menyanyikan lagu dangdut terutama irama dangdut klasik.

“Saya bukan seperti penyanyi Asmidar dan Shiha Zikir yang boleh menyanyi dengan lenggok lagu yang merdu. Saya kagum dengan bakat mereka.

“Jadi, asalkan sudah mencuba saya puas hati. Malah, saya yakin peluang sentiasa ada dan bergantung juga pada rezeki,” katanya.

Wani yang sering berhadapan masalah ‘pitching’ dalam persembahannya berkata itu menjadi cabaran besar untuk dia memperbaikinya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Ogos 2018 @ 6:00 AM