GAMBAR daripada Kementerian Kesihatan Thailand menunjukkan kumpulan remaja yang diselamatkan dari Gua Tham Luang di Chiang Rai berkumpul menikmati makanan di hospital, semalam. FOTO via Reuters
GAMBAR daripada Kementerian Kesihatan Thailand menunjukkan kumpulan remaja yang diselamatkan dari Gua Tham Luang di Chiang Rai berkumpul menikmati makanan di hospital, semalam. FOTO via Reuters
Reuters

Mae Sai, Thailand: Di sebalik kisah kegembiraan kumpulan remaja dan jurulatih bola sepak mereka diselamatkan selepas lebih dua minggu terperangkap dalam Gua Tham Luang, ada kisah lain yang muncul iaitu empat daripada remaja terbabit sebenarnya tiada negara, seperti ribuan lagi penduduk di sempadan yang tiada kerakyatan.

Dua daripada empat remaja itu dalam proses mendapatkan kerakyatan dan publisiti hasil tragedi gua membabitkan remaja terbabit membolehkan isu penduduk tanpa negara mendapat perhatian.

“Saya gembira kerana kisah remaja terbabit secara tidak langsung mengetengahkan isu ini,” kata Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Thailand, Tuanjai Deetes.

“Kita perlu melihat isu ini secara serius. Masih ramai penduduk tanpa negara,” katanya.

Menurut perangkaan rasmi, 486,440 orang berdaftar dengan kerajaan Thailand sebagai rakyat tanpa negara dengan 146,269 berusia bawah 18 tahun, seperti kumpulan remaja terbabit.

Mereka ialah kumpulan penduduk bergerak di kawasan sempadan di selatan China, Myanmar dan Laos serta utara Thailand.

Mereka yang tinggal di Thailand bernasib baik, boleh mendapat pendidikan asas dan perubatan namun menghadapi sekatan perjalanan, tidak boleh berkahwin atau membeli hartanah.

Kumpulan remaja itu dan jurulatih mereka semakin pulih di hospital dan dijangka dibenarkan keluar Khamis ini.

Mereka dirawat di hospital di Chiang Rai sejak berjaya diselamatkan minggu lalu.

Menteri Kesihatan Piyasakol Sakolsatayadorn, berkata sebahagian remaja itu kehilangan sehingga lima kilogram berat badan namun keadaan mereka semakin pulih.

Menurutnya, mereka yang mengalami pneumonia juga semakin sihat.

“Saya sudah sihat sekarang. Terima kasih kerana menyelamatkan saya,” kata remaja berusia 14 tahun yang digelar Note.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 9:09 AM