VIKTOR (kanan) dan isterinya mendapat kerakyatan selepas mengangkat sumpah sebagai rakyat AS. FOTO/AFP
VIKTOR (kanan) dan isterinya mendapat kerakyatan selepas mengangkat sumpah sebagai rakyat AS. FOTO/AFP
AFP

NEW YORK: Ibu bapa mentua Presiden Donald Trump yang dilahirkan di Slovenia mendapat kerakyatan Amerika Syarikat pada satu majlis di New York semalam.

Mereka dilaporkan mengambil kesempatan program penyatuan keluarga yang dikecam hebat oleh Trump sendiri.

Viktor dan Amalija Knavs mengangkat sumpah sebagai rakyat, kata peguam imigresen mereka, Michael Wildes.

Ditanya oleh akhbar New York Times jika mereka mendapat kerakyatan menurut program yang dilabelkan ‘rantai pendatang’ oleh Trump, Wildes menjawab: “Saya rasa.”

Beliau berkata, rantai pendatang, yang membolehkan warga AS membiayai saudara terdekat menjadi penduduk tetap adalah cara ‘kotor’ untuk mencirikan apa yang digelar sebagai ‘dasar utama proses imigresen apabila menyentuh soal penyatuan keluarga’.

Tidak dapat dipastikan bila pasangan itu memperoleh kad hijau walaupun status mereka sebagai penduduk tetap didedahkan Wildes Februari lalu.

Melania Trump, 48, menyokong kedua-dua ibu bapanya.

Trump menyelar keras dasar imigresen, mengecam apa yang dipanggil rantai pendatang itu.

Presiden Republican itu berkata, sistem berkenaan merompak pekerjaan daripada rakyat AS dan mengancam keselamatan negara, menggesa sistem berasaskan merit yang memberikan kecenderungan kepada profesional lebih berpendidikan dan fasih berbahasa Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Ogos 2018 @ 3:39 PM