New York: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membuat ketetapan menggesa Myanmar memberi kerakyatan kepada golongan minoriti Muslim Rohingya negara itu serta hak sama rata kepada semua perkhidmatan.

Resolusi yang dideraf Kesatuan Eropah diterima 193 negara anggota selepas Myanmar gagal meminta undian dijalankan berhubung isu itu.

Myanmar yang menjadi negara sasaran boleh meminta undi dijalankan sekiranya ia menghendakinya.

Resolusi itu menyuarakan ‘kebimbangan serius’ terhadap nasib masyarakat Rohingya di Rakhine, tempat 140,000 orang hidup dalam kem selepas perbalahan tercetus antara penganut Buddha dan Islam pada 2012.

Pelan kontroversi disokong kerajaan Myanmar turut memaksa Rohingya mengakui diri mereka ‘Bengali’ - panggilan yang dianggap menghina - untuk mendapat kerakyatan.

Mereka yang enggan terpaksa tinggal di kem.

Ramai dalam kalangan kerajaan serta penduduk Buddha Myanmar menganggap Rohingya sebagai pendatang asing tanpa izin dari Bangladesh, namun masyarakat berkenaan menegaskan mereka adalah penduduk asal negara itu.
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Disember 2014 @ 5:04 AM