SWEET tidak terfikir ceburi bidang nyanyian walaupun dapat pujian nitizen.
SWEET tidak terfikir ceburi bidang nyanyian walaupun dapat pujian nitizen.
Ardini Sophia Sina


Pelakon comel Sweet Qismina mendapat perhatian apabila menyanyikan lagu Seloka Hari Raya berduet dengan As’ad Motawh.

Klip video yang dimuat naik di YouTube itu mendapat lebih 500,000 tontonan.

Tidak terfikir untuk menceburi bidang nyanyian secara serius, Sweet berterima kasih atas pujian dan komen positif netizen serta peminatnya.

Katanya, tidak sangka nyanyiannya mendapat perhatian hingga ramai menghantar mesej menerusi Instagram.

“Saya terkejut menerima mesej di Instagram memuji nyanyian saya. Saya tidak sangka peminat dan netizen memberikan maklum balas positif. Terima kasih atas kata-kata manis daripada mereka.

“Bagaimanapun, saya tidak terfikir untuk menceburi nyanyian. Saya tahu kemampuan sendiri untuk bergelar penyanyi.

“Saya menyanyikan lagu itu pun untuk suka-suka dan mempromosikan telefilem Batang Buruk Lesung Batu lakonan saya dengan As’ad,” katanya.

Buat masa ini, Sweet ingin fokus pada bidang pengacaraan dan lakonan.

Dia sedar, masyarakat Malaysia mendambakan penyanyi yang punya vokal mantap dan layak menyertai mana-mana pertandingan.

Gadis berusia 20 tahun itu mengakui dia cenderung mendengar lagu-lagu dengan vokal yang sedap didengar selain muzik santai dan ‘catchy’.

Kata Sweet, dia juga menerima mesej beberapa syarikat rakaman memberi tawaran membuat single.

Bagaimanapun, dia tidak punya rancangan meneroka bidang nyanyian.

“Apabila ramai yang kata suara saya sedap, saya dengar berkali-kali nyanyian sendiri. Saya bercakap pun macam suara budak-budak apatah lagi ketika menyanyi.

“Apapun, terima kasih atas semua kata-kata positif yang sudah diberikan. Saya ada juga terima panggilan daripada syarikat rakaman untuk merakamkan lagu.

“Saya tampil dengan lagu Seloka Hari Raya sebab merasakan lagu itu sesuai dengan kisah dalam Batang Buruk Lesung Batu,” katanya.

Bercerita mengenai Aidilfitri, Sweet berkata, dia menyediakan tiga hingga empat pasang pakaian.

“Ada yang saya tempah dan ada juga yang saya beli siap. Saya beli lebih kerana pasti ada majlis rumah terbuka atau program Aidilfitri yang akan saya hadiri nanti.

“Untuk rumah terbuka, saya buat kecil-kecilan. Selalunya kelab peminat akan aturkan majlis itu dan saya akan hadir untuk meraikan Aidilfitri bersama mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 5:53 AM