RUHAINIES. FOTO MAhzir Mat Isa
RUHAINIES. FOTO MAhzir Mat Isa
Najiy Jefri

Walaupun sedih apabila terpaksa berjauhan dengan keluarga Aidilfitri ini, pelakon genit Ruhainies tetap bersyukur kerana masih berkesempatan bersama keluarga pada hari raya pertama nanti.

Ruhainies akan berlepas ke Budapest, Hungary, Isnin depan yang juga pada hari raya keempat bagi menjalani penggambaran drama berjudul Anugerah Cinta Aisyah terbitan Zeel Production Sdn Bhd.

“Saya akan berada di Budapest selama dua minggu dan kemudian ke Vietnam. Tahun ini tahun ketiga saya menyambut Aidilfitri agak singkat kerana terikat dengan penggambaran drama.

“Sebenarnya saya okey saja kerana sejak nenek meninggal dunia, sambutan Aidilfitri tidak semeriah dulu. Namun, apa yang penting saya dapat meluangkan masa bersama keluarga pada hari raya pertama itu,” katanya ketika ditemui di majlis pelantikannya sebagai duta produk antarabangsa di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, baru-baru ini.

Ditanya mengenai peranannya sebagai watak utama bernama Aisyah dalam drama itu, pelakon yang popular menerusi drama Hello, Mr Perfect! ini berkata, watak kali ini memerlukan dia bertudung labuh.

“Ia juga memerlukan saya mewarnakan kembali rambut lebih gelap supaya bersesuaian dengan watak.

“Watak kali ini amat mencabar kerana saya perlu menjaga keperibadian seorang Muslimah. Jadi banyak pantang larang yang perlu saya ikut supaya dapat disampaikan dengan baik,” katanya.

Bercerita mengenai kehidupan peribadinya, Ruhainies mengakui masih solo dan belum terfikir untuk mencari kekasih hati.

Katanya, dia lebih selesa dengan kehidupan solo dan berkawan dengan ramai orang.

“Saya masih solo dan tidak terfikir soal cinta . Namun, tipulah kalau saya katakan tidak berkawan dengan sesiapa. Usia saya masih muda. Jadi, ada baiknya saya fokus membina kerjaya terlebih dulu.

“Bukan apa, saya bimbang fokus saya terjejas hanya semata-mata mahu memikirkan mengenai hati seseorang,” katanya.

Menurut Ruhainies, ada perkara lebih penting perlu dicapainya dalam hidup selain kehidupan cinta.

“Saya menjalani kehidupan solo seperti biasa saja. Biarlah masa yang menentukan. Saya mahu memberikan sepenuh tumpuan terhadap kerjaya lakonan dan pelantikan sebagai duta produk antarabangsa ini.

“Sampai masa, kalau ada orang ikhlas ingin mengenali hati budi pasti saya kongsikan,”katanya.

Ditanya mengenai pelantikannya sebagai duta produk wajah terbabit, Ruhainies akui teruja apabila dipilih menjadi selebriti kedua bagi produk itu selepas pelakon popular Korea Selatan Lee Kwangsoo.

“Saya sangat teruja dan gementar dengan pelantikan ini. Saya dilamar menjadi duta produk ini selepas dikatakan mempunyai wajah persis gadis Korea.

“Namun, apa yang membuatkan saya lebih terkejut adalah menjadi duta produk ini di Malaysia selepas Lee Kwangsoo yang sememangnya nama besar dalam industri hiburan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 8:49 AM