FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Norhayati Nordin


SEJAK kisah dirinya dilamar kekasih dikenali sebagai ‘Mr E’ di Itali pada November tahun lalu disiar media, pelakon Ruhainies, 27, kian terbuka berkongsi perkembangan hubungan itu.

Apatah lagi, Ruhainies dan ‘Mr E’ yang juga seorang ahli perniagaan menetap di London, England sudah menyulam kasih lebih setahun lalu.

Tanyalah apa saja berhubung kisah cintanya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas ini akan jawab tanpa berselindung.

Ruhainies berkata, sepanjang empat tahun membina karier seni, dia sering diajukan pertanyaan mengenai cinta.

“Media selalu bertanya dengan siapa saya bercinta. Ketika itu saya masih solo. Saya berjanji dengan media akan kongsi apabila sudah ada kekasih dan tidak akan merahsiakannya daripada pengetahuan peminat.

“Saya berpendapat peminat berhak tahu dan tiada sebab untuk saya rahsiakan kisah cinta. Jadi, apabila sudah bertemu dengan seseorang dan disayangi, saya kongsi dengan semua,” katanya.

Ruhainies berkata tujuan dia berkongsi cerita bahagia dalam hidupnya kerana sangat menghargai sokongan daripada peminat yang sentiasa setia menyokong karier seninya sejak awal hingga kini.

Menurut pelakon drama Menantu Ting Tong di TV3 itu, tidak ada sebab untuk menyembunyikan kisah cintanya kerana lebih selesa berterus-terang dan bersikap jujur.

Ditanya penerimaannya jika dikecam oleh warganet kerana terbuka berkongsi cerita peribadi itu, Ruhainies berkata dia tidak peduli.

“Kalau nak kecam, terpulang. Bagi saya, mereka (warganet) yang suka mengecam dan mengkritik itu bukan peminat. Mereka adalah ‘haters’.

“Jika peminat saya, mereka selalunya beri komen yang baik. Lagi pun, umur saya sekarang sudah 27 tahun dan memang sesuai untuk berkahwin. Jadi, tidak ada sebab saya perlu sembunyikan kisah cinta.

“Diakui, saya sangat pentingkan peminat yang tak jemu menyokong. Terima kasih kerana masih setia dan sentiasa menerima baik cerita berkaitan saya di media,” katanya.

Semakin tenang berhadapan selok-belok kehidupan sebagai selebriti, Ruhainies berkata dia banyak belajar daripada pengalaman.

“Tak dinafikan, saya kini semakin matang. Sebelum ini, apa yang pernah dilalui kerana saya masih kurang pendedahan dunia sebenar insan seni. Jadi, saya memang tak tahu dan pada masa sama tak boleh lari berdepan situasi itu.

“Namun, sekarang Alhamdulillah saya semakin faham rentak industri hiburan dan sangat berhati-hati. Saya juga lebih peka dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Menurut adik pelakon Risteena Munim itu, apabila kian matang, peka dan berhati-hati orang lain tidak lagi berani mengambil kesempatan atau 'memijak kepala'.

Bagi perkembangan karier lakonannya Ruhainies berkata dia baru selesai penggambaran drama 13 episod berjudul Dapur Kita di samping pelakon lain seperti Idris Khan dan Naim Daniel.

Memiliki kira-kira 1.3 juta pengikut di Instagram (IG), Ruhainies juga dipilih menjadi duta atau jurucakap produk dan terbaharu tentunya jenama beg tangan wanita, Paprika dari Hong Kong, China yang dilancarkan di ibu kota baru-baru ini.

Mengulas perkara itu, Ruhainies berkata wanita tidak dapat dipisahkan dengan beg tangan. Apatah lagi, sebagai selebriti dia harus sentiasa tampil elegan pada majlis hiburan dihadiri.

“Justeru, untuk tampil yakin saya selalu pastikan dari kepala hingga ke kaki nampak menarik. Busana dipakai perlu dipadankan dengan beg tangan dan kasut sesuai,” katanya.

Ruhainies berkata dia juga sangat teliti dengan saiz dan warna beg tangan yang akan digayakan. Katanya, dia akan pastikan ia pilihan beg tangan yang tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 September 2019 @ 5:01 AM