AZREL. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
AZREL. FOTO/NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Ramlah Zainal


Dalam tempoh lima tahun, pelakon berbakat Azrel Ismail, 34, mengakui namanya belum kukuh.

Kemunculan ramai bakat baru yang semakin mendapat perhatian turut membuatkan namanya seakan-akan tenggelam.

Namun, anak kelahiran Taiping, Perak ini tidak pernah berputus asa untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang lakonan.

Malah, pelakon yang mencipta nama menerusi drama bersiri Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin ini percaya, kejayaan tidak datang bergolek sebaliknya menerusi bakat dan kerja keras yang bukan sedikit.

“Nama saya mula dikenali ramai menerusi drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin berganding dengan Raysha Rizrose tidak lama dulu.

“Saya juga dapat banyak tawaran menjadi jurucakap produk dan iklan selepas drama bersiri itu. Pelbagai watak sudah dilakonkan tetapi nama masih kurang menyerlah dalam dunia hiburan.

“Bagaimanapun, saya percaya pada soal rezeki daripada Tuhan yang sudah tertulis untuk seseorang,” katanya.

Terbaru, nama Azrel kembali meniti di bibir peminat menerusi lakonannya dalam drama bersiri 30 episod, Isteri Dalam Sangkar berganding dengan Nina Iskandar yang bersiaran sejak 17 Oktober lalu di saluran HyppTV.

“Walaupun orang cakap nama kurang menyerlah, tawaran berlakon tidak pernah putus sampai sekarang. Saya juga bersyukur, menerusi maklum balas peminat di laman sosial, drama ini mendapat sambutan hangat daripada peminat dan antara drama paling trending di Unifi TV ketika ini,” katanya.

Mengenai wataknya sebagai Tengku Iskandar pula, kata Azrel, ia hero antagonis yang agak mencabar dalam cerita drama berat adaptasi novel ini.

“Tengku Iskandar terpaksa berkahwin dengan Siti Aishah kerana ditangkap basah. Pada mulanya, dia tidak menyukai Siti Aishah tetapi lama-kelamaan perasaan benci bertukar cinta.

“Selain banyak bermain dengan emosi dalaman termasuk babak menangis, penggambaran juga mencabar dalam cuaca sejuk di Cameron Highlands.

“Penggambaran juga berlangsung selama lima bulan tanpa henti. Mungkin kerana waktu penggambaran yang panjang, saya demam pada keesokan harinya selepas terbabit dengan penggambaran babak pada jam 3 pagi dalam cuaca sejuk,” katanya.

Antara drama lakonannya sebelum ini ialah Cik Sempurna untuk Slot Dahlia TV3 dan Menantu Ting Tong berganding dengan Ruhainies.

Ditanya aspek lakonan pula, pelakon filem Pulang ini mengakui dia sentiasa berusaha memperbaiki prestasi lakonan sedia ada.

“Saya pernah dikritik sebagai pelakon kayu dalam filem Pulang arahan Kabir Bhatia sebelum ini. Saya tidak cepat melatah dengan komen orang kerana Pulang adalah filem pertama dilakonkan.

“Saya lebih suka melihat dari sudut positif untuk memperbaiki aspek lakonan dan menjadikan pelakon hebat Que Haidar sebagai idola dalam bidang lakonan,” katanya.

Selain Pulang, Azrel turut berlakon dalam filem komedi romantik Bikin Filem arahan M Latiff Zami dan menampilkan barisan pelakon seperti Azhan Rani, Sherry Al Hadad, Scha Alyahya serta Erra Fazira.

Masih berkawan baik dengan Ruhainies

Hubungan akrabnya dengan pelakon jelita Ruhainies sering mencuri perhatian peminat sejak dua tahun lalu.

Namun, Azrel terpaksa akur hubungan cinta yang terjalin selepas berganding dalam drama Menantu Ting Tong itu tidak kesampaian seperti diharapkan.

“Saya memang terkilan apabila hubungan cinta kami tidak kesampaian selepas ia berakhir kira-kira setahun lalu.

“Ruhainies sangat mementingkan keluarganya dalam segala hal. Sudah ditakdirkan dia bukan jodoh saya, namun kami tetap berkawan baik dan masih berhubung di laman sosial.

“Saya juga tiada masalah untuk kami berlakon sama dalam projek drama selepas ini,” katanya.

Diminta mengulas pengakuan Ruhainies yang sudah dilamar kekasihnya yang juga ahli perniagaan dikenali sebagai Mr E ketika bercuti di Itali sebelum ini, Azrel sentiasa mendoakan kebahagiaan pasangan kekasih itu.

“Saya turut gembira Ruhainies sudah bertemu lelaki yang dicintainya. Saya mendoakan Ruhainies dan kekasihnya itu segera ke jenjang pelamin.

“Buat masa ini, saya masih solo dan mahu fokus untuk terus mengukuhkan nama dalam kerjaya seni tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 6:30 AM