ZAHIRAH Macwilson. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
ZAHIRAH Macwilson. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
Ramlah Zainal

Selepas tiga tahun berkecimpung dalam industri seni, Zahirah Macwilson, 23, sudah mampu duduk sebaris dengan pelakon hebat sedia ada.

Menurut pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini, dia bersyukur berkat kerja keras banyak pihak sudah mula buka mata dengan bakat dan kemampuannya.

Selepas gandingan serasi dengan Syafiq Kyle dalam drama Tak Ada Cinta Sepertimu untuk Astro, drama terbarunya, Jangan Benci Cintaku bersama Saharul Ridzwan untuk Slot Akasia di TV3 kini mendapat sambutan luar biasa.

“Alhamdulillah, 2018 tahun terbaik dalam kerjaya saya.

“Dua tahun terawal pembabitan dalam bidang ini, saya bekerja keras untuk mendapatkan tempat kerana lakonan kaku dan kurang fasih bertutur dalam bahasa Malaysia.

“Kini, banyak pihak memuji dan memberi maklum balas positif terhadap lakonan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelantikannya sebagai duta produk penjagaan wajah.

Zahirah yang baru berpisah dengan aktor Zul Ariffin tidak menafikan namanya sebelum ini lebih dikenali dengan kisah cinta yang dijaja berbanding kerjaya.

“Peminat lebih kenal saya kerana kisah cinta dan kontroversi sehingga ramai terlepas pandang bakat dan kemampuan saya.

“Saya menyesal kerana ambil mudah dan tidak bersungguh-sungguh bekerja sebelum ini.

“Mungkin kerana sibuk bercinta dan usia pun baru 20 tahun ketika itu.

“Saya tidak salahkan orang lain dalam hal ini kerana ia pengalaman yang mematangkan saya,” katanya.

Anak sulung bekas penyampai TV3 dan pelakon Zainol Johari Macwilson ini mengakui masih banyak ilmu lakonan yang perlu digali bagi memperbaiki kelemahan diri.

“Saya kini lebih fokus dan semakin teliti merancang kerjaya seni,” katanya.

ZAHIRAH Macwilson. FOTO Zulfadhli Zulkifli.
ZAHIRAH Macwilson. FOTO Zulfadhli Zulkifli.

Penangan watak Fika

Berbicara lanjut perihal karier, Zahirah tidak kisah digandingkan dengan mana-mana pelakon. Tiada istilah memilih kerana baginya semua pelakon ada kelebihan tersendiri.

Malah, pelakon ini tidak menafikan tuah menyebelahinya apabila gandingan dengan Saharul Ridzwan dalam drama Jangan Benci Cintaku menjadi.

Dia juga terharu apabila ramai penonton menyukai gandingan itu dengan memberikan pelbagai reaksi positif.

“Saya boleh letakkan diri saya yang dahulu sama seperti karakter Fika dalam drama ini.

“Fika, wanita yang terlalu simpati terhadap Shah walaupun dia tahu suaminya itu ada kekasih lain iaitu Husna.

“Watak Husna juga memang wujud dalam kehidupan sebenar,” katanya.

Ditanya gandingan dengan Zul Ariffin pula, Zahiran berkata, dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan bekas kekasihnya itu dalam drama.

“Saya seorang yang professional ketika bekerja. Namun, mampukah dia bersikap profesional?

“Saya mencari hero yang tinggi lampai sama seperti saya untuk digandingkan dalam drama selepas ini,” katanya.

Mengenai projek baru pula, kata Zahirah, dia sangat selektif apabila membabitkan soal naskhah.

“Selepas drama Jangan Benci Cintaku, saya akan menjayakan satu lagi projek drama pada hujung tahun.

“Saya tidak mahu watak yang klise kerana ia tidak memberi impak kepada penonton.

“Judul drama pun penting kerana saya tidak mahu berlakon dalam cerita yang saya nampak bodoh.

“Selain menolak watak antagonis, saya juga tidak mahu watak terlampau seksi di kaca televisyen,” katanya.

Pada masa sama, Zahiran bakal beraksi dalam sebuah filem tidak lama lagi.

“Semuanya masih dalam perbincangan dan saya akan beritahu rakan media apabila sampai masanya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Julai 2018 @ 9:22 AM