Andi (kanan) tak peduli komen negatif curi lagu Semalam Sahur Di Mana.
Andi (kanan) tak peduli komen negatif curi lagu Semalam Sahur Di Mana.
Ardini Sophia Sina


Sepanjang Syawal, pastinya kita akan dihiburkan dengan deretan lagu raya bagi memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri. Namun, jarang sekali kita dengar lagu yang dihasilkan khas untuk Ramadan.

Bulan lalu, penyanyi yang semakin mencipta nama, Andi Bernadee tampil membawa kelainan dengan menyanyikan lagu Semalam Sahur Di Mana.

Meski mendapat pujian peminat, ada segelintir pihak ‘menyerang’ Andi di laman sosial dan menuduh jejaka kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu mencuri karya berkenaan daripada penyanyi asal, Roy Ricardo.

Hakikatnya, isu curi lagu mahupun plagiat sama sekali tidak timbul. Bahkan, sebelum lagu berkenaan dirakam semula dengan suntikan nafas baru, Roy sudah dimaklumkan dan memberikan keizinan.

Mempertemukan dua penyanyi itu dalam satu sesi fotografi, mereka cepat mesra walaupun baru pertama kali berjumpa. Masing-masing memberikan kerjasama yang baik.

Kata Andi, dia tertarik untuk menyanyikan lagu berkenaan kerana ia mengisahkan sahur dan sesuai dengan keadaan semasa ketika semua umat Islam sedang berpuasa.

“Saya tidak pernah dengar lagu ini tetapi apabila Warner Music Malaysia memberikan cadangan agar saya menyanyikannya saya terima dengan hati terbuka. Lagipun, kita jarang ada lagu yang berkaitan dengan puasa.

“Asalnya, muzik Semalam Sahur Di Mana itu ada bunyi EDM tetapi Omar K dan Shazee Ishak ubah rentak dan lirik agar lebih sesuai dengan pendengar Malaysia,” katanya.

Tidak terkesan dengan pandangan negatif segelintir pihak, Andi berharap lagu itu tidak hanya dimainkan pada Ramadan kali ini tetapi juga pada tahun mendatang.

Bagi Andi, apa yang dilaluinya itu perkara biasa bagi anak seni. Tambahan pula, dia pernah berdepan situasi sama ketika menyanyikan semula lagu Tak Tun Tuang hujung tahun lalu.

“Macam-macam komen negatif di laman sosial saya tetapi saya tidak kisah pun. Dulu ketika menyanyikan lagu Tak Tun Tuang lagi teruk saya kena. Apalah sangat dengan tuduhan saya kononya mencuri lagu.

“Hakikatnya sebelum menyanyikan Semalam Sahur Di Mana, Warner Music Malaysia sudah melakukan prosedur yang betul agar tidak timbul isu plagiat kemudian hari,” katanya.

Nama Andi mula menjadi sebutan selepas videonya menyanyikan lagu Tak Tun Tuang menjadi tular. Sekali lagi menyanyikan lagu dari penyanyi Indonesia, Andi menafikan ia strategi untuk meningkatkan popularitinya.

“Ia hanya secara kebetulan. Ia bukan strategi untuk meningkatkan populariti saya. Buat apa saya mahu gunakan lagu yang hanya relevan dimainkan sepanjang Ramadan?

“Lebih baik saya jual lagu yang sesuai dimainkan pada bila-bila masa untuk menaikkan nama saya dalam industri. Lagu Semalam Sahur Di Mana hanyalah lagu projek,” katanya.

Sementara itu, Roy yang juga penggubah lagu dan penyanyi rap di Indonesia berbesar hati apabila dihubungi Warner Music Indonesia mengenai lagu lagu itu akan dinyanyikan semula oleh Andi.

Katanya, ia adalah peluang baik untuk mengembangkan lagi kerjayanya di Malaysia serta memberikan ruang buat Andi melebarkan sayap di Indonesia.

“Lagu ini saya terbitkan dua tahun lalu. Saya tidak kisah pun kalau ia dinyanyikan semula. Itu bermakna ada individu menghargai karya yang saya hasilkan.

“Tambahan pula lagu itu sesuai dinyanyikan pada bulan Ramadan. Gubahan baru yang dibuat ke atas lagu itu juga segar dan sesuai dengan arus perdana,” katanya.

Ditanya sama ada Roy tahu mengenai tuduhan netizen terhadap Andi, jejaka berusia 29 tahun itu mengiyakan namun hanya mendiamkan diri kerana merasakan ia adalah salah satu strategi pemasaran yang baik.

“Saya tahu ada yang menuduh dia plagiat tetapi saya kunci mulut. Saya percaya ia salah satu cara pemasaran berkesan. Tambahan pula, golongan pembenci akan selamanya terus membenci walaupun karya yang dihasilkan itu sangat bermutu.

“Kita bukan hanya perlu lagu berkualiti tetapi juga kena ada drama yang baik agar lagu ini terus jadi sebutan. Lambat laun orang akan tahu juga lagu ini dinyanyikan semula Andi selepas mendapat persetujuan saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Jun 2018 @ 5:53 AM