MOHAMMAD Qawiem melawat anaknya, Qaid Hadid yang mengalami komplikasi  kesihatan sejak dilahirkan di Unit Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) Hospital Kuala Lumpur. FOTO Mohd Latif Ahmad
MOHAMMAD Qawiem melawat anaknya, Qaid Hadid yang mengalami komplikasi kesihatan sejak dilahirkan di Unit Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) Hospital Kuala Lumpur. FOTO Mohd Latif Ahmad
Mohd Latif Ahmad

Kuching: Demi tugasnya sebagai pendidik, seorang pensyarah muda di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di sini, terpaksa berjauhan dengan keluarganya yang kini berada di Kuala Lumpur.

Kehadirannya sangat penting buat mereka memandangkan anak bongsunya, Qaid Hadid yang berusia tiga bulan menghidap komplikasi kesihatan sejak lahir pada 10 Februari lalu.

Namun, Mohammad Qawiem Hamizan, 30, tiada pilihan kerana terikat dengan tanggungjawab mendidik anak bangsa dan hanya mampu berulang-alik antara Kuching dan Kuala Lumpur untuk menjenguk keluarganya.

“Jika ikut hati, saya hanya mahu dekat dengan mereka saja sama ada di Kuching atau Kuala Lumpur. Saya mahu keluarga kami bersatu,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, Mohammad Qawiem sedar Qaid Hadid perlukan perhatian pakar hingga benar-benar pulih dan dia harus lebih tabah demi insan kesayangannya.

Katanya, Qaid Hadid mengalami masalah saluran pemakanan tidak bersambung (tracheoesophageal fistula) dan turut menghidap jantung berlubang.

“Dia ditempatkan di Unit Penjagaan Intensif Pediatrik (PICU) Hospital Kuala Lumpur dan hingga kini sudah menjalani lima pembedahan bermula dengan proses penyambungan esofagus dan usus.

“Malangnya, pembedahan itu gagal kerana jarak organ terlalu jauh tetapi masalah buang air besar Qaid Hadid dapat diselesaikan dengan menebuk perut sebelah kanannya (stoma).

“Pembedahan kedua menyambung esofagus dan usus berjalan lancar tetapi tidak bertahan lama apabila bocor pada minggu berikutnya, sekali gus memaksa pembedahan ketiga dijalankan,” katanya.

Bapa dua anak itu memberitahu, pembedahan ketiga hanya untuk penyelesaian sementara bagi masalah kebocoran sebelum ini, dengan esofagus dibawa ke leher yang ditebuk untuk membolehkan air liur keluar.

Menurutnya, bagi membantu anaknya makan, bahagian kiri perut (stoma) Qaid Hadid ditebuk untuk penyambungan usus perut.

“Ketika proses ini juga, doktor mengesan Qaid Hadid ada penyakit jantung berlubang sebelum pembedahan keempat dibuat untuk mengurangkan tekanan pada paru-paru akibat masalah itu,” katanya.

Mohammad Qawiem berkata, pembedahan kelima bayinya untuk membetulkan central venous line yang tidak berfungsi dan berkemungkinan perlu menjalani pembedahan lagi untuk menyambung semula saluran pemakanan, merawat jantung berlubang dan pembentukan alat sulit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 6:56 AM