PESAKIT alami muntah darah apabila pembuluh darah pada saluran esofogus pecah.
PESAKIT alami muntah darah apabila pembuluh darah pada saluran esofogus pecah.

Zat makanan dan nutrien yang diserap dari perut, usus kecil dan juga usus besar, serta darah dari limfa akan dibawa ke hati oleh pembuluh darah dipanggil vena portal.

Darah yang dibawa itu akan diproses di dalam hati dan kemudiannya akan ke jantung untuk dipam ke seluruh anggota badan. Peningkatan tekanan darah pada vena portal boleh menyebabkan pembuluh darah berkenaan membengkak seterusnya pecah.

Apabila pembuluh darah pada saluran esofagus pesakit pecah, pesakit akan mengalami muntah darah secara tiba-tiba. Berbeza dengan pendarahan akibat ulcer atau luka perut, pesakit biasanya tidak mengalami rasa sakit perut sebelum pendarahan terjadi.

Tekanan dalam salur darah vena portal ini boleh disebabkan oleh beberapa punca. Penyumbatan salur darah yang menyalurkan darah dari hati ke jantung boleh menyebabkan tekanan darah meningkat.

Antara punca biasa ialah kerosakan struktur sel hati pesakit sendiri, menyebabkan hati mengecil dipanggil cirrhosis. Cirrhosis boleh disebabkan oleh pelbagai faktor lain.

Apabila pendarahan terjadi, pesakit akan mengalami kekurangan darah yang akut. Ini boleh menyebabkan tekanan darah pesakit menjadi rendah dan nadi menjadi perlahan disebabkan kekurangan darah merah.

Pesakit perlu segera ke hospital untuk distabilkan sama ada dengan pemberian cecair atau dengan menggantikan darah yang hilang. Apabila keadaan pesakit lebih stabil, punca pendarahan perlu dikenal pasti menerusi prosedur endoskopi.

Prosedur itu membabitkan tindakan memasukkan kamera kecil melalui rongga mulut dan saluran esofagus diteropong hingga ke perut. Kawasan saluran darah yang mengalami pendarahan boleh dikenal pasti dengan cara ini. Ubat suntikan dan rawatan khas dilakukan ketika prosedur untuk memastikan pendarahan dapat dihentikan.

Ujian saringan darah dilakukan untuk mengetahui tahap anaemia atau kekurangan darah merah pesakit. Selain itu fungsi hati juga dapat dikenal pasti sama ada sudah mengalami kegagalan atau tidak. Pemeriksaan menggunakan ultrabunyi dilakukan untuk melihat saiz hati sama ada telah mengalami pengecutan, cirrhosis atau tidak.

Bagi pesakit yang sememangnya mengalami masalah hati seperti jangkitan hepatitis ataupun hati berlemak, rawatan susulan perlu dilakukan untuk memastikan hati tidak mengalami cirrhosis.

Jika terjadi cirrhosis, tekanan darah pada saluran darah vena portal perlu diperiksa dan pembedahan untuk mengalihkan laluan darah menggunakan laluan lain perlu dilakukan untuk mengelakkan pendarahan berlaku secara mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:00 AM