LAPORAN Harian Metro, 22 Mei. Gambar kecil, Mazlan Lazim. FOTO Aswadi Alias
LAPORAN Harian Metro, 22 Mei. Gambar kecil, Mazlan Lazim. FOTO Aswadi Alias
Nor Azizah Mokhtar

Kuala Lumpur: Pergaduhan antara dua geng motosikal di Taman Tasik Titiwangsa minggu lalu, dikenal pasti sebagai punca seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mati dipukul beramai-ramai di Taman Melati di sini, Ahad lalu.

Dalam kejadian jam 4.31 pagi itu, mangsa maut akibat dipukul suspek menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal pada tengkuknya.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, susulan kejadian itu pihaknya menahan 17 individu berusia antara 14 hingga 20 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes bunuh berhampiran sebuah restoran makanan segera itu.

Menurutnya, semua suspek termasuk tiga remaja perempuan itu kini direman tujuh hari sehingga 26 Mei depan bagi membantu siasatan.

“Dalam masa sama, polis turut memburu 16 lagi suspek lain yang masih bebas. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh.

“Pada hari kejadian, Pusat Kawalan Polis Kuala Lumpur menerima aduan berhubung satu kes pergaduhan membabitkan kumpulan bermotosikal di hadapan restoran makanan segera itu,” katanya.

Susulan itu, sebuah kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju diarah ke lokasi untuk pemeriksaan sebelum menemui mayat mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati pergaduhan itu adalah pergaduhan balas susulan perselisihan antara dua kumpulan motosikal di Taman Tasik Titiwangsa di sini yang berlaku minggu lalu.

“Kumpulan mangsa dikatakan dihampiri sekumpulan bermotosikal yang lain yang membuat bising dengan memulas pendikit motosikal menyebabkan berlaku pergaduhan.

“Berikutan kejadian itu, kedua-dua kumpulan bersetuju untuk bertemu sekali lagi di sebuah stesen minyak di Taman Melati pada hari terbabit sehingga tercetus pergaduhan menggunakan topi keledar dan besi pengunci motosikal sebagai senjata,” kata Mazlan.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai suspek diminta tampil menyalurkan maklumat kepada pegawai penyiasat kanan IPD Wangsa Maju, Asisten Superintendan G Stephen di talian 03-92899222 atau 016-3767390.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 5:26 AM