GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Lelaki disyaki terbabit sembilan kes ragut di sekitar ibu kota ditahan kira-kira dua jam selepas melakukan jenayah sama di Taman Bunga Raya Taman Melati, Wangsa Maju, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, suspek berusia 31 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah dalam serbuan di Flat Taman Melati, di sini, jam 10.45 pagi.

"Pada jam 8.36 pagi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju menerima laporan berkenaan kejadian ragut yang berlaku di Jalan Lorong Mas Ria 3 di Taman Bunga Raya.

"Suspek terbabit dipercayai tidak bekerja. Siasatan awal mendapati suspek mensasarkan warga tempatan dan warga asing," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ashari berkata, pasukan serbuan merampas sebuah beg silang berjenama, telefon bimbit (11), masing-masing satu tablet, topi keledar, motosikal Yamaha Y15 dan beg penghantaran makanan serta plastik lutsinar disyaki dadah, dan 21 keping wang asing.

Katanya, dengan tertangkapnya suspek mereka percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya sembilan kes ragut di sekitar ibu negara.

"Hasil siasatan lanjut yang dijalankan, suspek mengaku terbabit dalam sembilan lagi kes ragut di sekitar kawasan Setapak dan Wangsa Maju.

"Suspek direman enam hari bermula 17 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan (samun-ragut)," katanya.

Sebarang maklumat berkaitan kes boleh disalurkan ke IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur, 03-21159999 atau balai berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:38 PM