Fizo bersama isteri lancar buku bertajuk Bangkit Bila Bankrap. FOTO
Fizo bersama isteri lancar buku bertajuk Bangkit Bila Bankrap. FOTO
Rudy Imran Shamsudin


SELEBRITI dan usahawan muda, Fizo Omar mengakui antara punca dirinya diuji Allah dan berdepan masalah bankrap disebabkan ‘lupa diri’ dan tidak menjaga amalan zakat.

Begitupun, dia melihat masalah bankrap dihadapinya itu sebagai proses pembelajaran dan mula belajar mengenai impak zakat dalam perniagaan.

Fizo berkata sewaktu ditemui pada majlis pelancaran buku terbarunya Bangkit Bila Bankrap di Pesta Buku Antarabangsa, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Dia turut menjelaskan kisah serta kesan akibat memandang remeh ibadah zakat yang menjadi bab paling digemari dalam buku ditulis sendiri itu.

Menceritakan proses panjang selama 13 bulan diambil menghasilkan Bangkit Bila Bankrap, Fizo berkata waktu itu isterinya Mawar Karim sedang sarat mengandung Wan Mariam.

"Biasalah bila isteri mengandung banyak ragam dan kehendak yang perlu didahulukan. Dalam waktu sama saya harus menjelajah 100 lokasi memberikan ceramah motivasi," katanya.

Dalam kesibukan menimang cahaya mata sulung selepas empat tahun mendirikan rumah tangga dan memberi ceramah, Fizo mencuri masa menulis di tengah malam dan juga dalam perjalanan.

"Sekarang selepas Mariam masuk usia empat bulan baru buku itu dapat dilancarkan. Jadi pelancaran Bangkit Bila Bankrap sangat istimewa buat diri saya secara peribadi," katanya.

Bangkit Bila Bankrap mempunyai 240 halaman merangkumi 12 bab mengenai perjalanan hidup Fizo membawanya melalui detik hitam selepas diumumkan muflis.

Buku turut menampilkan kisah bagaimana Fizo bangkit kembali membina empayar perniagaan dibangunkan sendiri.

Walaupun baru dilancarkan Bangkit Bila Bankrap sudah pun terjual sebanyak 1,000 naskhah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 6:14 PM