CUMBERBATCH semakin popular selepas muncul sebagai Doctor Strange.
CUMBERBATCH semakin popular selepas muncul sebagai Doctor Strange.
Ardini Sophia Sina

Aktor Britain Benedict Cumberbatch semakin popular selepas muncul sebagai Doctor Strange dalam filem Marvel Cinematic Universe pada 2016.

Kini, bergabung dengan adiwira lain dalam filem Avengers Infinity War, pelakon berusia 41 tahun ini mengakui hampir menitiskan air mata kerana diberikan peluang membintangi sekuel berkenaan.

Cumberbatch mengakui sangat gembira dapat bekerjasama dengan barisan adiwira terdahulu yang membentuk pasukan Avengers. Sebagai karakter baru dalam karya itu, dia teruja menantikan maklum balas peminat.

“Saya tidak malu mengaku hampir menitiskan air mata apabila dimaklumkan Doctor Strange akan beraksi dalam filem Avengers Infinity War.

“Saya sangat terharu dengan peluang diberi. Sudah lama saya menantikan peluang beraksi di samping Iron Man, Hulk, Captain America, Thor, Black Widow, Hawkeye dan ramai lagi, ” katanya.

Sepanjang penggambaran Avengers Infinity War, ada banyak pengalaman manis boleh dikenang seumur hidupnya. Bagaimanapun, kata Cumberbatch, tidak ada yang lebih berharga daripada keterujaan peminat menantikan tayangan filem terbabit.

Kata aktor itu, sudah banyak filem dibintanginya dan beberapa naskhah sedang menanti tarikh tayangan. Setiap karya itu sangat bermakna buatnya.

“Kalau mahu bercakap mengenai kenangan manis filem Avengers, memang terlalu banyak. Bahkan, dari awal proses pembikinan sehinggalah kerja promosi, semuanya sangat bermakna.

“Namun, apa yang paling bermakna adalah keterujaan peminat menantikan tayangan sekuel ini. Ramai meneka apa bakal terjadi. Reaksi mereka buat saya gembira,” katanya.

Dengan kehadiran ramai adiwira dalam Avengers Infinity War dan melihat pada skala peperangan yang tercetus kali ini, peminat mengandaikan pasti ada watak yang terbunuh.

DOCTOR Strange.
DOCTOR Strange.

Ketika diajukan perkara itu, Cumberbatch menegaskan, dia tidak mahu merosakkan penantian penggemar filem adiwira Marvel. Tambahan pula, mereka terikat dengan kontrak tidak boleh mendedahkan jalan cerita karya itu.

“Melihat peperangan yang tercetus dan kekuatan Thanos, pelbagai andaian boleh dibuat. Saya mengikuti komen orang ramai yang membuat pelbagai andaian siapa akan mati dan siapa pula yang terselamat,” katanya.

Menerusi Avengers Infinity War, Doctor Strange bergabung tenaga dengan Iron Man mencari jalan menumpaskan Thanos yang cuba mendapatkan batu infiniti.

Menceritakan pengalaman bekerjasama dengan Robert Downey JR yang mempunyai ego tersendiri dalam naskhah itu, Cumberbatch berkata, tiada masalah meski dua watak itu ada sikap yang hampir sama.

“Mudah bekerja dengan Robert. Walaupun kedua-dua karakter ada ego yang tinggi, mereka saling membantu. Begitu juga dalam dunia realiti, Robert banyak membantu saya menjayakan watak Doctor Strange dalam Avengers.

“Saya sangat berbesar hati dapat bekerjasama dengannya. Andai ada peluang bekerjasama lagi pada masa akan datang, saya tentu terima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 4:38 AM