KAREN Gillan
KAREN Gillan
Ardini Sophia Sina

Kanvas kerjaya pelakon Karen Gillan semakin menarik apabila dia ‘terpilih’ menyertai pasukan Avengers dalam filem Avengers Infinity War menerusi watak Nebula.

Nebula adalah watak antagonis yang dibawanya dalam filem Guardians of the Galaxy dan Guardians of the Galaxy Vol 2 sebelum ini.

Gillan yang berjaya dengan watak Martha dalam filem ‘box office’ Jumanji: Welcome to the Jungle tahun lalu berkata, watak Nebula itu banyak membantu perjalanannya memasuki dunia Avengers.

Ketika pihak pengurusan menghubunginya dan bertanya sama ada sanggup membotakkan kepala demi filem terbitan Marvel Cinematic Universe, sudah tentu dia bersetuju.

“Sudah pasti saja menjawab ya! Soalan itu terlalu mudah untuk saya jawab. Saya rasa mana-mana pelakon pun akan sanggup membotakkan kepala demi filem terbitan Marvel Cinematic Universe.

“Rambut saya pula cepat tumbuh. Jadi, untuk karya hebat seperti itu, saya sanggup lakukan apa saja. Saya memang mengidamkan untuk berada dalam Avengers cuma tidak sangka peluang datang secepat ini.

“Watak Nebula banyak membantu saya masuk ke dunia Avengers. Kalau bukan kerana tawaran itu, tidak mungkin saya ada bersama dalam sekuel kegilaan ramai itu,” kata pelakon berusia 31 tahun ini.

BAWA watak Nebula sejak 2014 dalam filem Guardians of the Galaxy.
BAWA watak Nebula sejak 2014 dalam filem Guardians of the Galaxy.

Gillan mengakui dia sebenarnya kecut perut ketika berlakon dalam Avengers Infinity War. Bagaimanapun, dia lega apabila semua pelakon menerima kehadirannya.

“Saya gementar untuk berlakon bersama mereka. Ini adalah antara filem terbesar saya sepanjang pembabitan sebagai pelakon. Lebih-lebih lagi terdapat ramai pelakon senior dalam filem ini.

“Namun, ketakutan saya hilang apabila mereka menerima kehadiran saya dengan baik. Semua pelakon yang ada mengalu-alukan Nebula dalam perang yang tercetus dalam filem,” katanya.

‘Nak makan pun susah’

Menceritakan pengalamannya sepanjang penggambaran Avengers Infinity War, Gillan berkata, dia pelakon yang mengambil masa paling lama untuk disolek iaitu lebih dua jam.

“Sepanjang tempoh itu, muka saya penuh dengan gam supaya topeng dapat dilekatkan dengan sempurna. Sepanjang proses itu, saya hanya duduk diam. Melihat telefon pun susah.

“Pada waktu rehat ketika semua orang makan dengan santai, saya pula terpaksa membahagikan makanan itu menjadi saiz kecil kerana sukar untuk membuka mulut. Topeng itu menarik kulit muka saya,” katanya.

Menurutnya, dia juga terpaksa bangun seawal jam 3 pagi bersiap sedia untuk disolek. Sepanjang tempoh itu, Gillan bersembang dengan jurusolek bagi menghilangkan kebosanannya.

TERPAKSA disolek lebih dua jam untuk watak Nebula.
TERPAKSA disolek lebih dua jam untuk watak Nebula.

Bagaimanapun, Gillan bersyukur kerana kali ini dia tidak perlu membotakkan kepalanya. Jurusolek mengubah teknik supaya rambutnya yang panjang dapat diselamatkan.

Dalam pada itu, Gillan ketawa besar apabila teringat peristiwa yang dirasakan memalukan dirinya.

Katanya, dia teruja membuat sorakan perang namun tidak ada seorang pun yang melakukan perkara itu.

“Ada satu kejadian, ketika saya katakan ‘mari bersorak untuk ke medan perang’, kemudian saya bersorak tetapi pelakon lain tidak lakukan hal itu. Saya agak malu. Bagaimanapun, ia adalah kenangan manis,” katanya.

Percaya pada kuasa wanita

Ditanya pendapat mengenai wanita yang dilihat semakin ramai membintangi filem bertema adiwira, Gillan melihatnya sebagai perkembangan positif.

Katanya, dia berharap jika ada penerbit yang membuat filem dengan mengumpulkan semua adiwira wanita, dia turut berada dalam karya berkenaan.

“Ramai yang akan mengatakan wanita adalah insan yang rapuh, sangat sensitif dan beremosi. Ada yang berpendapat wanita tidak boleh dijadikan pelindung.

“Bagaimanapun, saya melihat semakin ramai pelakon wanita menjadi adiwira. Saya lihat ia adalah perkembangan yang baik. Tidak ada lagi diskriminasi jantina.

“Jika filem yang mengumpulkan adiwira wanita seperti Wonder Woman dan Batgirl, saya juga ingin berlakon dalam filem itu dan beraksi bersama mereka,” katanya.

MAHU berlakon dalam filem adiwira wanita.
MAHU berlakon dalam filem adiwira wanita.

Pelakon adiwira wanita dalam Marvel pernah bersama-sama menyuarakan idea itu kepada Presiden Marvel Studios Kevin Feige dan dia tertarik dengan cadangan berkenaan.

Dalam filem Black Panther, Marvel menampilkan tiga watak baharu wanita yang cukup berkuasa iaitu Nakia, Okoye dan Shuri.

Filem Avengers Infinity War bakal ditayangkan pada 25 April depan. Ia mengisahkan Thanos yang ingin mendapatkan batu infiniti. Avengers perlu menumpaskan Thanos sebelum perkara itu terjadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 3:24 AM