MOHD Khalid bertukang untuk kepuasan sendiri.
MOHD Khalid bertukang untuk kepuasan sendiri.
Oleh Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN terdapat pelbagai pilihan perabot di pasaran, ada segelintir pemilik kediaman lebih selesa untuk menghasilkan rekaan atau perabot sendiri.

Alasannya perabot yang dihasilkan sendiri boleh dilaras mengikut spesifikasi baik segi saiz, rekaan mahupun potongan diidamkan terutama bagi pemilik yang pandai bertukang.

Itu yang dilakukan Mohd Khalid Ishak, 62, apabila menghasilkan perabot kayu untuk kediaman sendiri dan ahli keluarga lain.

Katanya, ketika ini antara perabot yang pernah dihasilkan ialah kabinet dapur dan set meja makan bagi ruangan dalam rumah, sementara set meja serta kerusi rehat untuk laman rumah.

PERABOT yang dihasilkan kelihatan cantik.
PERABOT yang dihasilkan kelihatan cantik.

“Lepas bersara daripada tentera iaitu tahun 2002 baru aktif bertukang, tetapi projek ketika itu lebih kepada baik pulih dan pernah juga buat kabinet untuk rumah pusaka keluarga sebelah isteri.

“Ketika itu baru hendak asah minat dan mengingati kembali skil bertukang. Maklumlah saya tidak pernah mengikut sebarang kelas kemahiran dan mempelajarinya secara tidak langsung daripada arwah datuk yang sememangnya pandai bertukang.

“Pada saya selain hobi, ia satu kepuasan apabila melihat perabot dihasilkan dapat berfungsi dengan baik serta tampak menarik apabila diletakkan pada ruang sepatutnya.

“Paling penting kalau perabot dihasilkan sendiri, saya dapat ‘kawalan penuh’ khususnya rupa akhir dan kualiti perabot diinginkan,” katanya.

Tambah Mohd Khalid, dia tidak menolak hakikat dengan menghasilkan perabot sendiri dapat menjimatkan kos untuk memiliki perabot bersesuaian dengan tatarias ruang idaman.

“Mengenai cabaran buat peminat perabot kayu seperti saya, biasanya saya mahukan perabot menggunakan material utuh atau kayu tegap. Tetapi, untuk dapat kualiti seperti itu, rasanya perlu mengeluarkan belanja yang tinggi.

“Pilihan terbaik adalah dengan bertukang sendiri kerana boleh memilih material yang sesuai dan berkualiti. Pilihan kayu dalam pembuatan perabot biasanya gunakan meranti, cengal, jati atau kayu pain (palet).

“Ia boleh dibeli baru atau terpakai untuk mereka yang ada bajet tertentu. Ketika ini kayu palet ialah kualiti terpakai dan biasanya terdapat di kilang atau pelabuhan.

“Namun untuk dapatkannya susah dan terpaksa mengharapkan bantuan kenalan yang bekerja kilang bagi dapatkan stok kayu berkenaan.

“Untuk projek set meja dan kerusi santai di laman rumah umpamanya, kos untuk menyiapkan sekitar RM100 sahaja termasuk kemasan akhir iaitu menggunakan kertas pasir bagi melicinkan permukaan kayu dan syelek untuk serikan warna kayu,” katanya.

Cabaran lain, kata Mohd Khalid, kerja bertukang tidak sesuai dilakukan ketika musim hujan kerana kerja mengecat atau mengilatkan kayu terganggu yang mana hasilnya warna kelihatan lebih kusam, tidak berkilat dan ancaman kulat apabila proses pengeringan kemasan terakhir tidak sempurna.

KERJA seperti mengilatkan kayu seharusnya dilakukan ketika cuaca panas.
KERJA seperti mengilatkan kayu seharusnya dilakukan ketika cuaca panas.

MEJA unik yang turut mempunyai perincian berpara menambah fungsinya bukan sekadar meja biasa.
MEJA unik yang turut mempunyai perincian berpara menambah fungsinya bukan sekadar meja biasa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Disember 2019 @ 5:00 AM