PERABOT campuran kayu dan besi mendapat permintaan tinggi.
PERABOT campuran kayu dan besi mendapat permintaan tinggi.
MEJA daripada lembaran besi dan kayu.
MEJA daripada lembaran besi dan kayu.
ZAINURIN di bengkel perabotnya.
ZAINURIN di bengkel perabotnya.
SET bar terdiri meja tinggi dan kerusi.
SET bar terdiri meja tinggi dan kerusi.
Zaitie Satibi

DILEMA memilih antara keluarga dan kerjaya yang lazim dihadapi wanita turut dialami lelaki. Demikian yang terjadi kepada Zainurin Md Ridzuan, 53, kira-kira 20 tahun lalu apabila beliau terpaksa melepaskan kerjaya dalam bidang insurans supaya dapat menguruskan tiga anaknya.

Namun, Zainurin sebagai ketua keluarga menyedari tanggungjawab menyara mereka masih terpikul di bahunya dan situasi itu mendorong beliau memanfaatkan kemahirannya dalam bertukang untuk mengusahakan bengkel pembuatan perabot sendiri.

Anak kelahiran Ipoh, Perak itu berkata, dia belajar bertukang daripada bapanya yang juga seorang tukang rumah menubuhkan ZZ MT Resources dan menghasilkan produk berasaskan kayu.

ZAINURIN di bengkel perabotnya.
ZAINURIN di bengkel perabotnya.

“Saya belajar bertukang daripada ayah kerana ketika kecil sering melihat beliau melakukan kerja membuat rumah. Ini menimbulkan minat saya dalam kerja pertukangan, malah turut belajar mengimpal besi bagi menambah kemahiran dalam bidang ini.

“Sejujurnya, tidak terlintas dalam fikiran untuk menjadikan pertukangan sebagai sumber rezeki kerana hasil kerja tangan saya sebelum ini hanya untuk kegunaan di rumah. Tetapi, disebabkan saya perlu menguruskan anak, saya nekad berhenti kerja makan gaji.

“Sejak bekerja sendiri, saya dapat meluangkan masa bersama keluarga. Sebelum ini, masa saya banyak di luar kerana perlu kerap bertemu pelanggan tanpa mengira masa,” katanya yang menghasilkan bingkai gambar dan kraf tulisan khat pada peringkat awal terbabit dalam pembuatan perabot.

PERABOT campuran kayu dan besi mendapat permintaan tinggi.
PERABOT campuran kayu dan besi mendapat permintaan tinggi.

Bermodalkan wang simpanan, Zainurin membuka bengkel selain membeli set alat pertukangan, mesin cat dan kelengkapan kimpalan. Sentuhan dan kreativiti beliau juga mampu menghasilkan set perabot serta perhiasan rumah bernilai tinggi.

“Namun, cita rasa pelanggan terhadap perabot juga berubah mengikut aliran semasa. Sejak empat hingga lima tahun lalu, pelanggan didapati lebih menggemari perabot ala hipster terdiri daripada campuran kayu, besi dan bahan terbuang seperti kayu palet.

“Bagaimanapun, ada juga pelanggan yang masih menggemari perabot dengan konsep tradisional seperti seni ukiran kayu dan anyaman. Antara perabot dihasilkan ialah set ruang tamu membabitkan kerusi panjang, bangku dan meja kopi yang kini mendapat permintaan tinggi,” katanya.

Perabot lain dihasilkan seperti rak, kabinet, meja makan, meja bar dan meja untuk berkelah mengikut rekaan yang dikehendaki pelanggan serta kosnya bergantung kepada jenis barangan digunakan.

MEJA daripada lembaran besi dan kayu.
MEJA daripada lembaran besi dan kayu.

“Bagi perabot campuran saya gunakan lembaran besi atau expanded metal berbentuk jaring supaya binaannya lebih kukuh dan dekorasinya lebih menarik, selain boleh dilapisi cat supaya tahan cuaca.

“Penggunaan lembaran besi juga boleh dipelbagaikan rekaannya, sekali gus menjadikan sesuatu perabot itu lebih menarik. Ini kerana kelebihan lembaran besi sedemikian yang boleh dilentur dengan mudah, selain tidak membabitkan pembaziran.

“Bentuknya yang berjaring juga memudahkan aliran udara, air mahupun cahaya dan semua ciri ini menjadikan perabot campuran lebih menarik berbanding perabot jenis lain,” katanya.

Zainurin juga mempelajari cara menghasilkan perabot campuran menerusi rujukan di Internet sebelum menghasilkan perabot mengikut imaginasinya. Bagaimanapun, reka bentuk lazimnya ditentukan pelanggan, tetapi ada juga yang menyerahkan kepada beliau sepenuhnya.

“Perabot buatan saya selain untuk kegunaan di rumah, ada juga mendapat permintaan daripada pengusaha restoran dan pemilik pejabat yang mahukan kelainan dalam rekaan dalaman premis mereka.

“Campuran kayu dan besi dalam pembuatan perabot sememangnya menghasilkan gabungan unik. Malah, perabot sedemikian juga mempunyai banyak fungsi.

“Saya juga gemar menghasilkan perabot yang mampu menjimatkan ruang seperti meja boleh lipat atau satu perabot dengan lebih satu kegunaan,” katanya.

Beliau juga sama seperti usahawan lain yang pernah berdepan pengalaman memeritkan apabila perabot yang dihasilkan untuk tempahan luar negara dibatalkan. Keadaan ini mengakibatkan Zainurin menanggung kerugian besar dan nyaris bengkelnya ditutup, tetapi dengan sokongan keluarga dan rakan, beliau bangkit semula.

SET bar terdiri meja tinggi dan kerusi.
SET bar terdiri meja tinggi dan kerusi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 11:28 AM