Nor Azura Abdul Jalil dan Najiy Jefri


KEMELUT rumah tangga antara pemuzik, Muhammad Radzi Abdul Wahid atau Ude dengan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh akhirnya bernokhtah apabila pasangan itu sah bercerai talak satu pada 9.50 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, hari ini.

Ude, 30, yang juga suami kepada pelakon Izreen Azminda melafazkan talak satu itu di hadapan Hakim Syarie Shaiful Azli Jamaludin selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkannya pada Januari lalu.

Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Difahamkan Ude pertama kali memfailkan permohonan cerai pada November tahun lalu, namun menarik balik permohonan itu sebelum memfailkan semula permohonan sama Januari lalu.

Suasana di dalam mahkamah bertukar sedih apabila pasangan itu bermaafan dan bersalaman buat kali terakhir sebagai suami isteri sebelum Ude melafazkan cerai.

Intan Liana, 33, yang berjubah hitam dilihat sebak sehingga menitiskan air mata ketika bersalaman dengan Ude.

Shaiful Azli kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan Intan Liana selaku defendan menjalani tempoh edah selama tiga bulan, mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama daerah Gombak Timur dan sijil nikah dibatalkan.

Selepas membenarkan permohonan itu, mahkamah menasihati pasangan itu supaya mengambil iktibar terhadap apa yang terjadi dan tidak ulangi lagi kesalahan lalu.

Pada prosiding itu, Ude diwakili peguam syarie Datuk Mohd Zaidi Mohd Zain manakala Intan Liana diwakili peguam syarie Suriany Awaludin.

Terdahulu ketika prosiding bermula, Mohd Zaidi memaklumkan pasangan itu masih lagi berbincang mengenai perjanjian penyelesaian berkaitan isu-isu tuntutan selepas perceraian termasuk nafkah.

Berdasarkan fakta kes, Mohd Zaidi berkata, pasangan itu sudah tidak mempunyai persefahaman di dalam perkahwinan dan wujudnya shiqa’€™ (perbalahan) berpanjangan.

" Perbincangan sudah dibuat, namun tiada jalan penyelesaian dicapai antara kedua-dua pihak. Pihak-pihak sudah tinggal berasingan sejak lima bulan lalu. Perceraian ini juga tidak membabitkan pihak ketiga," katanya.

Sementara itu, Intan ketika ditemui berkata, dia reda dengan takdir Allah SWT.

“Saya reda dengan takdir yang Allah SWT tentukan. Saya terima jodoh saya sampai di sini,” katanya.

Intan yang kelihatan sebak dengan perceraian ini berkata, dia tidak menyimpan sekelumit dendam atau marah terhadap Ude.

“Saya tidak marahkan Ude atas apa yang berlaku ini. Saya baik-baik saja.

“Malah pihak keluarga saya juga menerima keputusan ini dengan hati terbuka,” katanya.

Menurut Intan, dua cahaya matanya masih dalam jagaannya dan bakal memfailkan hak penjagaan sepenuhnya serta tuntutan lain selepas ini.

“Sepanjang kami tidak tinggal bersama, Ude bebas membawa anak-anak untuk bersamanya.

“Saya tiada masalah untuk Ude mengambil anak, tetapi saya akan failkan hak penjagaan sepenuhnya dan tuntutan lain selepas ini,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

Pada November lalu, pelakon Izreen Azminda mendedahkan sudah berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos 2017 secara tertutup dan ia dirahsiakan atas permintaan suaminya itu.

Izreen mempunyai seorang anak lelaki iaitu Muhammad Adrian Umar yang kini berusia lima tahun hasil perkahwinan terdahulunya dengan jurukamera iaitu Muhammad Riza.

Intan diwakili oleh peguam syariah Suriany Awaludin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 10:43 AM
Intan dan Ude sah bercerai talak satu. FOTO Rosdan Wahid
Intan dan Ude sah bercerai talak satu. FOTO Rosdan Wahid