MOHD Nor Adib menunjukkan ikan gapi baka Phoenix Fire Tail yang berharga RM1,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
MOHD Nor Adib menunjukkan ikan gapi baka Phoenix Fire Tail yang berharga RM1,000. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Dungun: Kegilaan seorang lelaki menternak 40 jenis ikan gapi sejak 10 tahun lalu ternyata berbaloi kerana hobi itu menjana pendapatan lumayan ketika ini.

Walaupun pada awal pembabitannya dalam kegiatan penternakan itu membawa kerugian lebih RM30,000 apabila semua ikan diternak mati, ia tidak mematahkan semangatnya.

Mohd Nor Adib Abu Bakar, 43, dari Kampung Keliyu, Serdang berkata, dia menjalankan kegiatan penternakan ikan gapi itu hanya sekadar hobi kerana tertarik dengan keunikan ikan bersaiz kecil itu.

“Bagaimanapun, usaha itu meraih perhatian ramai malah dilihat mampu dipasarkan kerana permintaan agak tinggi.

“Saya mula menternak ikan itu secara serius pada 2009 dan berjaya membiaknya dengan cepat dan menjualnya.

“Namun kerana kekurangan ilmu, semua ikan yang diternak termasuk pelbagai jenis baka yang dibeli dengan modal RM30,000 mati selepas tiga bulan diternak,” katanya.

Nor Adib berkata, kegagalannya itu tidak menyebabkan dia patah semangat sebaliknya memberi perangsang kepadanya untuk meneruskan penternakan itu, tetapi menggunakan sistem betul.

“Saya bermula dengan baka gapi yang biasa sebelum memperoleh baka gapi bergred tinggi dari luar negara termasuk Red Tuxedo Koi dan Albino Full Red Crown Tail.

“Paling mahal, saya mempunyai baka Phoenix Fire Tail yang berharga RM1,000 sepasang,” katanya.

IKAN gapi jenis Albino Red Full  Crown Tail. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
IKAN gapi jenis Albino Red Full Crown Tail. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Dia kini mempunyai 30 tangki dan setiap tangki mempunyai lebih 300 ikan gapi manakala sebahagiannya sedia untuk dijual.

“Saya menjual ikan gapi itu mengikut gred iaitu RM200 hingga RM1,000 sepasang.

“Ikan itu dijual secara terus kepada pelanggan yang datang ke rumah atau dipos bagi pelanggan yang membuat tempahan melalui laman sosial.

“Sehingga kini, ikan gapi yang diternak ini pernah dihantar ke Amerika Syarikat, Indonesia dan Thailand selain di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya yang bekerja sebagai pengurus projek.

Menurutnya, dia bertuah kerana isterinya, Wan Hartini Wan Ahmad, 43, memahami malah turut membantunya menguruskan ternakan itu ketika dia bekerja.

“Isteri membantu memberi makan kepada ikan gapi itu selain menguruskan urusan penghantaran ikan melalui pos,” katanya.

Sementara itu Wan Hartini berkata, dia menyokong suaminya menternak ikan gapi itu kerana yakin dengan kesungguhannya apabila menjalankan sesuatu pekerjaan.

“Suami seorang yang konsisten dalam melakukan apa saja pekerjaan. Justeru saya yakin usahanya akan beroleh kejayaan.

“Biarpun kami terpaksa membelanjakan lebih RM600 sebulan untuk kos makanan dan penyelenggaraan, ia berbaloi kerana pulangan diperoleh sangat memberangsangkan,” katanya.

Menurutnya, selain ikan gapi, suaminya menternak ayam eksotik dan pelbagai jenis burung.

SEBAHAGIAN pelanggan  memilih ikan gapi untuk dibeli. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
SEBAHAGIAN pelanggan memilih ikan gapi untuk dibeli. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Mac 2018 @ 5:20 AM