Mohd Izzat membuat persiapan membungkus benih ikan puyu yang diternak dalam kolam DIY.
Mohd Izzat membuat persiapan membungkus benih ikan puyu yang diternak dalam kolam DIY.
Siti Rohana Idris


KOTA BHARU: Jika dua tahun lalu, idea untuk mengkomersialkan penternakan ikan puyu dipandang sinis dan tidak mendapat sokongan pihak berkaitan, namun kini usaha itu ternyata membuahkan hasil.

Mohd Izzat Mohd Zubir, 33, kini mampu mendabik dada apabila menjadi satu-satunya pembekal benih ikan puyu atau nama saintifiknya Climbing Anabas di negara ini.

Dia mampu membekalkan 30,000 hingga 50,000 benih ikan puyu hibrid setiap minggu.

Lebih membanggakan, Mohd Izzat memiliki 10 kolam berkonsepkan Do it yourself (DIY) yang menggunakan kanvas untuk menternak benih ikan dan transit ikan puyu sebelum dijual kepada pembeli.

Mohd Izzat berkata, dia memperoleh bekalan benih ikan puyu baka Chumphon F1 dari Thailand sebanyak 200,000 hingga 250,000 ekor sebulan.

“Saya memilih baka itu kerana ia berbeza dengan baka lain dari segi saiz fizikal yang lebih lebar seperti ikan talapia, isi agak tebal dan warnanya hijau kekuningan.

“Dalam tempoh tiga hingga enam bulan, benih ikan puyu yang diternak ini mampu mencecah satu kilogram untuk enam ekor dan paling berat pernah saya ternak adalah 400 gram seekor,” katanya di rumahnya di Kampung Paya Lada, Kadok di sini.

Graduan Diploma Perikanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu berkata, benih ikan puyu dibekalkan ke seluruh negara secara pos menggunakan bas.

Dia yang memiliki sijil sebagai pembekal yang diiktiraf dari Thailand turut memberi jaminan penggantian benih lain jika benih ikan puyu yang dibekalkan itu mati dalam tempoh 24 jam atau terbantut pembesarannya.

“Selain benih ikan puyu hibrid, saya turut membekalkan benih ikan ubi, sepat, belut dan akan datang adalah ikan emas pada harga borong.

“Saya kini dalam proses menghasilkan makanan ikan (pelet) sendiri sebagai kaedah mengurangkan kos selain menjualnya dengan harga yang lebih murah kepada penternak lain,” katanya yang turut menghasilkan ikan puyu pekasam sejak dua tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Julai 2019 @ 5:35 AM