SITI Elizad tidak suka ambil banyak tawaran dalam satu masa.Aziah Azmee
SITI Elizad tidak suka ambil banyak tawaran dalam satu masa.Aziah Azmee
Najiy Jefri


Biarpun hampir dua dekad mencanai bakat dalam industri hiburan tanah air, Siti Elizad tidak pernah puas.

Bagi pelakon cantik ini, setiap karakter yang digalas adalah pelajaran baru buat dirinya.

“Kerjaya ini sudah jadi sebahagian daripada jiwa saya. Segala ilmu yang dimiliki saya curahkan ketika beraksi depan kamera.

“Bagi saya, kalau jadual kerja tidak putus-putus, ia bukan satu masalah. Bahkan, untuk drama Papa Ricky yang kini bersiaran di Astro Prima, saya tak cukup tidur,” katanya.

Kata Elizad, prinsip yang dipegang selama ini mudah. Sekiranya diberi kepercayaan untuk melakukan sesuatu, dia akan melakukan sehabis baik.

Malah, dia akan memastikan hasil kerjanya benar-benar berkualiti.

“Sekiranya tawaran yang datang menuntut komitmen tinggi, saya sanggup tolak tawaran lain. Fokus saya bukan pada kuantiti tetapi lebih kepada kualiti. Saya mahu lakonan meninggalkan kesan mendalam di hati penonton.

“Seperkara lagi, saya tidak suka ambil banyak tawaran dalam satu masa kerana bimbang mengundang masalah kemudian hari.

“Maklumlah, kadang-kadang ada perubahan masa dan tempat. Saya tak mahu menyusahkan rakan lain,” katanya.

Kukuhkan karier nyanyian

Sejak menjuarai program realiti Gempak Superstar, Elizad mahu dikenali sebagai penghibur serba boleh.

Dia mahu karier lakonan dan nyanyian bergerak seiring.

“Kalau ikutkan jiwa saya lebih kepada lakonan. Namun, andai ada rezeki dalam bidang nyanyian, saya tidak menolak.

“Lagipun, sebelum ini dalam program Gempak Superstar saya pernah buktikan yang pelakon juga boleh menyanyi.

“Hobi saya menyanyi dan sukakan lagu santai. Lagi seronok kalau ada lagu sendiri yang diangkat sebagai runut bunyi drama lakonan saya,” katanya yang tampil dengan single, Haiyaya pada Oktober tahun lalu.

Elizad turut memaklumkan sedang mencari material untuk single kedua. Setakat ini dia belum memutuskan komposer untuk buah tangan terbarunya itu.

“Mungkin saya akan ketengahkan lagu akustik. Tidak banyak instrumen digunakan dan melodinya santai sahaja,” kata Elizad.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 1:36 AM