AZIZULHASNI (kiri) dan  Jun Hoong. FOTO Eizairi Shamsudin & Aizuddin Saad
AZIZULHASNI (kiri) dan Jun Hoong. FOTO Eizairi Shamsudin & Aizuddin Saad
HM Digital

Kuala Lumpur: Dua juara dunia, Mohd Azizulhasni Awang (berbasikal) dan Cheong Jun Hoong (terjun) muncul selaku calon utama untuk memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2017.

Kedua-dua jaguh dunia itu adalah antara lima calon yang disenarai pendek SAM bagi perebutan anugerah yang akan diumumkan pada Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2017, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan.

Azizul meraih tumpuan selepas kejayaan mendominasi saingan untuk bergelar juara keirin dunia pada tarikh 13 April 2017 pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.

Pelumba berusia 30 tahun dari Dungun, Terengganu yang terkenal dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ itu sebelumnya pernah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2009.

Sementara atlet terjun kebangsaan, Cheong Jun Hoong turut melakar sejarah tersendiri selaku atlet Malaysia pertama meraih pingat emas pada Kejohanan Akuatik Dunia 2017 di Budapest, Hungary, Julai lalu.

Lagu Negaraku berkumandang di Duna Arena selepas penerjun berusia 27 tahun dari Perak itu menghimpun 397.50 mata dalam acara 10m platform individu wanita sekali gus mengetepikan bekas juara dunia, Si Yajie dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio de Janeiro 2016, Ren Qian, masing-masing dari China.

Perebutan Anugerah Atlet Terbaik SAM-100PLUS 2017 kali ini sememangnya menyaksikan saingan sengit di kalangan juara-juara dunia, termasuklah atlet wushu, Wong Wen Son yang meraih pingat emas dalam disiplin Jianshu lelaki pada Kejohanan Wushu Sedunia ke-14 di Kazan, Russia.

Calon lain yang bakal bersaing ialah trio Duilian wanita, Phoon Eyin, Loh Ying Tin dan Tan Cheong Min serta skuad tenpin bowling wanita dibarisi Shalin Zulkifli, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Sin Li Jane, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi dan Natasha Roslan.

Anugerah Atlet Para Terbaik pula menyaksikan saingan empat penjuru antara Muhammad Ziyad Zolkefli dan Abdul Latif Romly daripada sukan olahraga, Cheah Liek Hou (badminton) serta Muhammad Afiq Afify Rizan dan Muhammad Khairul Adha Rasol (berbasikal trek).

Muhammad Ziyad, jaguh lontar peluru lelaki F20, mencipta pelbagai kejayaan sepanjang 2017 di mana dia meraih emas di samping mencipta rekod baru dunia pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London selepas cemerlang memegang rekod dunia pada temasya Sukan Paralimpik Rio de Janeiro 2016.

Sekembalinya dari London, dia mencipta kejutan dengan meraih pingat gangsa pada penampilan sulung di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) dan seterusnya mempertahankan pingat emas temasya Sukan Para Asean buat kali keempat berturut-turut.

Abdul Latif pula berjaya mempertahankan pingat emas acara lompat jauh lelaki T20 dan memperbaharui rekod kejohanan miliknya sendiri pada kejohanan sama.

Dia juga berjaya mempertahankan pingat emas acara lompat jauh temasya Sukan Para Asean buat kali ketiga berturut-turut.

Jaguh perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou pula merangkul gelaran juara dunia kategori SU5 (kecacatan anggota bahagian atas) pada aksi final Kejohanan Dunia BWF-Para di Ulsan, Korea Selatan manakala gandingan Muhammad Afiq Afify bersama jurumudi, Muhammad Khairul Adha pula adalah pemenang pingat gangsa acara pecut tandem pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Amerika Syarikat.

Pemenang kedua-dua anugerah utama itu akan menerima hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 6:05 AM