AZIZULHASNI raih anugerah sama pada 2009 dan 2017.
AZIZULHASNI raih anugerah sama pada 2009 dan 2017.
Aida Adilah Mat


KECEMERLANGAN dan rentetan kejayaan dirangkul sepanjang 2019 membolehkan jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang dan atlet powerlifting negara, Bonnie Bunyau Anak Gustin dinobat pemenang Anugerah Atlet Terbaik dan Atlet Para Terbaik di majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100PLUS 2019, hari ini.

Pemilihan Azizul berdasarkan kejayaannya muncul juara di Kejohanan Trek Siri Dunia di Cambridge Disember lalu, menewaskan bekas juara dunia, Shane Perkins dan Matthew Glaetzer selain meraih pingat emas selepas muncul juara acara pecut individu di Kejohanan Trek Asia 2019 di Korea Selatan pada Oktober 2019.

BONNIE cipta sejarah di bumi Kazakhstan.
BONNIE cipta sejarah di bumi Kazakhstan.

''Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada SAM kerana memilih saya sebagai pemenang pada tahun ini. Sudah tentu saya akan jadikan anugerah ini sebagai sumber motivasi bagi persiapan menghadapi Sukan Olimpik tahun hadapan.

''Keadaan sungguh mencabar, namun saya tidak akan berputus asa dan menguatkan semangat perjuangan demi merealisasikan impian pingat emas pertama untuk rakyat Malaysia,'' kata Azizulhasni yang sebelum ini turut meraih anugerah sama pada 2009 dan 2017.

Azizul mengatasi empat lagi calon - Farah Ann Abd Hadi (gimnastik), S Kisona (badminton), atlet luncur ais Julian Yee dan Loh Choon How (wushu).

Sementara itu, Bonnie daripada sukan powerlifting memecah dominasi olahraga apabila dipilih untuk menerima Anugerah Atlet Para Terbaik 2019.

Atlet kelahiran Sarawak berusia 20 tahun itu mengatasi tiga lagi pencabar yang disenarai pendek; S Suresh dan Wiro Julin daripada sukan memanah serta Ziyad Zolkefli (olahraga). Bonnie mencipta sejarah di bumi Kazakhstan apabila meraih dua pingat emas di Kejohanan Dunia di Nur-Sultan.

Azizulhasni dan Bonnie Bunyau masing-masing membawa pulang sebuah trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Pada majlis itu juga, Reezal turut mengumumkan bantuan kewangan RM100,000 dan RM50,000 sebagai subsidi untuk membiayai sewa ruang pejabat SAM untuk tempoh 2 tahun. Dengan bantuan itu diharapkan SAM akan mengorak langkah untuk terus terus melaungkan nama Malaysia kepada seluruh pelosok dunia menggunakan pelbagai medium komunikasi yang wujud di masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 September 2020 @ 10:57 PM