PENJENAYAH maut dalam kejadian berbalas tembakan di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau. FOTO ihsan Polis
PENJENAYAH maut dalam kejadian berbalas tembakan di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau. FOTO ihsan Polis
Abdul Rahemang Taiming


POLIS menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau, Tawau, hari ini.

Dalam kejadian 3.20 petang itu, sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau mengekori suspek yang menaiki Perodua Kancil putih selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan berhampiran bulatan Kalabakan.

Menyedari kehadiran polis, suspek memecut kenderaannya ke arah Batu 3 Jalan Kalabakan-Keningau sebelum membelok masuk ke sebuah ladang kelapa sawit di Blok 22 dan berhenti kira-kira satu kilometer dari jalan utama.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika dihampiri, suspek yang berada dalam kenderaan dilihat mengacukan senjata api sebelum melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

“Seorang suspek yang berada di tempat duduk penumpang belakang juga kelihatan melepaskan tembakan menggunakan senjata panjang ke arah pasukan polis sambil keluar dari kereta menuju ke dalam kawasan kelapa sawit.

“Bagi mempertahan diri, anggota polis terpaksa membalas tembakan menyebabkan semua suspek mati di tempat kejadian,” katanya kepada media di Tawau, hari ini.

Fadil berkata, pemeriksaan dalam kereta menemui senjata api jenis Rifle 5.56mm, Revolver dan pedang samurai dipercayai milik suspek.

Katanya, buat masa ini polis belum dapat memastikan identiti suspek yang dianggarkan berumur lingkungan 40-an.

“Kita juga menyiasat sama ada suspek turut terbabit dalam aktiviti pengganas,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 7:00 PM