Lokasi mayat pekerja ladang sawit warga Filipina ditemui dengan lapan kesan tembakan. (Gambar kecil) Fadil. FOTO Ihsan PDRM
Lokasi mayat pekerja ladang sawit warga Filipina ditemui dengan lapan kesan tembakan. (Gambar kecil) Fadil. FOTO Ihsan PDRM
Nasrawati Syarifuddin


MAYAT pekerja ladang sawit warga Filipina ditemui dengan lapan kesan tembakan di Ladang Seraya, Kalabakan, Tawau, hari ini.

Pada kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mayat mangsa dikenali sebagai Almasir Julion, ditemui oleh mandur ladang.

Lelaki itu kemudian memaklumkan kejadian kepada polis.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, sebelum kejadian, mandur itu tiba di ladang berkenaan untuk memberi taklimat rutin kepada pekerjanya.

Beliau berkata, lelaki terbabit menemui mangsa di kaki lima di dewan serbaguna di ladang berkenaan.

"Polis yang menerima laporan daripada mandur itu segera bergegas ke ladang itu untuk melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan polis mendapati ada satu kesan luka tembakan di bahagian hadapan dada kiri lelaki itu.

"Selain itu, ada tujuh kesan luka peluru yang tembus di belakang badan mangsa.

"Tidak ada kesan kecederaan lain pada tubuhnya.

"Polis percaya mangsa ditembak dengan menggunakan senapang patah," katanya ketika dihubungi di sini.

Beliau berkata, mayat kemudian dihantar ke Hospital Tawau untuk tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Fadil berkata, mangsa dipercayai berasal dari Jolo, Filipina dan tinggal bersama dengan saudara di rumah pekerja ladang itu.

Katanya, pada jam 8 malam semalam, lelaki itu dikatakan keluar ke rumah rakannya untuk makan malam.

"Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah sehingga mayatnya ditemui," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengenal pasti suspek.

"Polis juga masih menyiasat motif kejadian," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun keseksaan kerana membunuh.

#kw bunuh, warga Filipina

#loc 4.4116789999999986, 117.492699

TAMAT.

1. LOKASI mayat pekerja ladang sawit warga Filipina ditemui dengan lapan kesan tembakan di Ladang Seraya, Kalabakan, Tawau, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 8:25 PM