POLIS menembak mati tiga suspek penjenayah dalam kejadian berbalas tembak di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau, Tawau jam 3.20 petang tadi. FOTO Ihsan PDRM
POLIS menembak mati tiga suspek penjenayah dalam kejadian berbalas tembak di Batu 2 Jalan Kalabakan-Keningau, Tawau jam 3.20 petang tadi. FOTO Ihsan PDRM
Poliana Ronnie Sidom


PASUKAN keselamatan masih menyiasat identiti tiga suspek bersenjata yang mati ditembak dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis berhampiran ladang kelapa sawit di Batu 2, Jalan Kalabakan-Keningau, Tawau, kelmarin.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali, berkata setakat ini identiti tiga suspek berkenaan belum dikenal pasti.

Katanya, pihaknya juga tidak menerima sebarang maklumat daripada pasukan keselamatan Filipina yang mendakwa seorang daripada suspek adalah komander kumpulan Abu Sayyaf seperti yang dilaporkan sebuah akhbar.

"Saya tak tahu dari mana mereka dapat maklumat itu. Walhal kita pun tak terima maklumat sebegitu daripada pasukan keselamatan negara jiran.

"Kita juga masih membuat siasatan lanjut termasuk untuk kenal pasti siapa mereka," katanya ketika dihubungi NSTP di sini, sebentar tadi.

Dalam kejadian 3.20 petang kelmarin, tiga suspek bersenjata mati ditembak, sebelum polis menemui selaras raifal M16-A1, sepucuk Revolver, pedang samurai, topeng, sarung tangan dalam Perodua Kancil dinaiki mereka.

Kereta itu pula dilaporkan hilang di Kota Kinabalu pada tahun 2010.

Dalam sidang media semalam, Hazani berkata, pasukan keselamatan tidak menolak kemungkinan tiga suspek adalah anggota kumpulan gerakan militan Daesh berdasarkan keupayaan serta senjata dimiliki suspek.

Beliau dilaporkan berkata, siasatan terperinci kini dijalankan termasuk bantuan pihak Bukit Aman, Polis Antarabangsa (INTERPOL) serta pihak berkuasa Filipina dan siasatan juga menjurus jika ketiga-tiga suspek ada kaitan dengan beberapa tangkapan ahli kumpulan Daesh di negeri ini, baru-baru ini.

Berita berkaitan:

Tiga penjenayah maut berbalas tembakan

[UPDATE] Suspek disyaki anggota Daish [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Mac 2018 @ 12:29 PM