Ekhwan Haque Fazlul Haque


SUAMI sanggup menamatkan hayat isterinya dipercayai kerana cemburu di sebuah rumah panjang di Sungai Asap, Belaga, semalam.

Kejadian disedari jiran pasangan itu pada 9 malam sebelum memaklumkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber, mangsa, 25, dipercayai dibunuh suaminya, 38, di dapur rumah mereka menggunakan senjata tajam beberapa jam sebelum mayat wanita itu ditemui.

Katanya, jiran menyedari kejadian apabila melihat suami isteri terbabit terbaring berlumuran darah menerusi celahan tingkap rumah panjang berkenaan.

"Sepasukan polis yang menerima maklumat mengenai kejadian bergegas ke lokasi untuk siasatan.

"Pemeriksaan lanjut menemui mangsa sudah meninggal dunia, manakala suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya hari ini.

Kata sumber itu, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan suspek yang juga pekerja sebuah kem balak di daerah sama bertindak sedemikian bermotifkan cemburu.

“Polis akan mengambil keterangan daripada suspek selepas keadaannya dilaporkan stabil dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian, berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Februari 2018 @ 8:56 PM