ROSLI (kiri) membawa keluar rotan dari hutan di Kampung Orang Asli Langkap.
ROSLI (kiri) membawa keluar rotan dari hutan di Kampung Orang Asli Langkap.
Amran Yahya


Kuala Pilah: Mencari rotan di hutan nampak mudah, namun ia sebaliknya apabila mereka perlu bermalam hingga dua minggu malah membawa anak dan isteri bersama untuk mencari hasil berkenaan.

Itu yang mahu dikongsikan penduduk Kampung Orang Asli Langkap, di sini, Rosli Singgah, 42, yang berpengalaman mencari rotan sejak 30 tahun lalu.

Rosli berkata, dia memiliki 20 pekerja membabitkan penduduk dan menjalankan pekerjaan itu untuk bekalan pemborong.

“Menjadi kebiasaan penduduk memasuki Hutan Kampung Langkap sejauh 30 kilometer (km). Berikutan perjalanan meredah begitu jauh, kami bermalam dua minggu dan membawa keluarga masing-masing,” katanya.

Menurutnya, 10 pekerja ditugaskan bagi satu kerja pencarian termasuk ada yang menggendong anak
kecil.

“Bagi orang dewasa, kami menebang rotan, manakala anak dan isteri ditugaskan untuk menarik, memotong dan mengikat hasil itu,” katanya.

Dia berkata, prinsip masyarakat Orang Asli adalah membantu satu sama lain dan disebabkan itu, mereka membawa keluarga bersama.

Katanya, dia mewarisi pekerjaan daripada bapanya, Firdaus Abdullah, 64, dan kini dibantu adik lelaki, Rosman, 30.

“Selama ini masyarakat sekadar melihat rotan termasuk perabot yang dihasilkan. Mereka mungkin tidak menyelami kesusahan kami dan ini dilakukan sejak sekian lama,” katanya.

Menurutnya, masyarakat Orang Asli beranggapan individu yang mampu duduk di atas kerusi rotan adalah orang kaya.

“Biarpun begitu, kami bersyukur kerana perabot diperbuat daripada rotan masih dihasilkan dan ia menjadi sumber pendapatan penduduk,” katanya ditemui di kampung itu, semalam.

Katanya, bekalan rotan di hutan itu masih mampu bertahan hingga beberapa generasi dan pekerjaan itu akan diteruskan.

“Antara jenis rotan yang sering diperoleh adalah manau, dug, jelayan, rotan tanah dan banyak lagi. Ia dibahagikan kepada tiga kategori iaitu kelas A, B dan C bergantung kepada saiz, kualiti dan warna,” katanya. Menurutnya, setiap rotan yang siap dipotong tiga meter dan diikat 15 batang dijual antara 50 sen hingga RM3.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2018 @ 6:57 AM