ROSLI (kiri) membawa keluar rotan dari  hutan di kampung Orang Asli Langkap.
ROSLI (kiri) membawa keluar rotan dari hutan di kampung Orang Asli Langkap.
Amran Yahya


Kuala Pilah: “Walaupun ada peluang kerja ditawarkan di bandar, saya rela mencari rotan di hutan kerana bimbang warisan turun-temurun ini akan hilang begitu saja,” kata Rosli Singgah, 42, penduduk Orang Asli di perkampungan Langkap, Tanjong Ipoh, di sini.

Dia yang juga generasi ketiga suku Temuan mengambil alih tugas daripada bapanya, Firdaus Abdullah, 64, melakukan kerja terbabit sejak 30 tahun lalu memandangkan permintaan terhadap hasil hutan masih memberangsangkan.

“Kerja ini adalah warisan nenek moyang sejak ratusan tahun lalu dan saya adalah generasi ketiga selepas ayah. Tugas ini bermula selepas kesihatan ayah tidak mengizinkan.

“Justeru, saya bersama adik (Rosman, 30) bersama-sama mengusahakan kerja ini. Bukan apa, saya cuma risau suatu hari nanti kerja ini berkubur begitu saja,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, bekalan rotan masih banyak di hutan Kampung Langkap dan mampu bertahan untuk beberapa generasi lagi.

PENDUDUK kampung Orang Asli Langkap bergotong-royong menaikkan rotan dalam lori untuk dibawa keluar.
PENDUDUK kampung Orang Asli Langkap bergotong-royong menaikkan rotan dalam lori untuk dibawa keluar.

“Selagi hutan ini tidak diceroboh selagi itu bekalan rotan masih ada. Kami sentiasa memelihara hutan termasuk menanam anak pokok rotan supaya bekalan sentiasa ada.

“Kerja mengeluarkan rotan bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan tenaga dan masa secukupnya. Kebiasaannya saya bersama 20 pekerja akan memasuki hutan selama dua minggu dengan membawa kelengkapan dan peralatan untuk bermalam.

“Kami juga mengambil masa empat jam untuk mengeluarkan hasil rotan sebelum dijual kepada pemborong. Antara rotan biasa diambil ialah manau, dug, jelayan dan rotan tanah,” katanya.

Katanya, setiap rotan dikerat sepanjang tiga meter sebelum diikat dan dijual pada harga 50 sen sehingga RM3 mengikut saiz serta jenis.

Bagaimanapun, katanya, dia beranggapan harga ditetapkan pemborong tidak berbaloi berbanding dengan usaha perlu dilakukan termasuk meredah hutan sejauh lima hingga 10 kilometer.

“Bukan mudah untuk mengeluarkan hasil hutan jika tiada stamina dan usaha jitu serta kerjasama semua pihak. Kami bersama membantu antara satu sama lain dan hasilnya dibahagi sama rata kerana kami ibarat keluarga demi mencari rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 10:56 AM