Ahmad Hasbi

Nilai: "Kami bukan mahu cari kekayaan di hutan ini, hanya mahu hidup. Orang luar yang kaut keuntungan, kami hanya dapat mudarat," luah Panjang Pandak Tah, wakil penduduk Kampung Orang Asli (OA) Sungai Mahang, di sini.

Tiga perkampungan Orang Asli di Wilayah Adat Bukit Galla, di sini, meluahkan keluhan mereka terhadap aktiviti pembalakan di kawasan berkenaan yang menjejaskan sumber bekalan air dan makanan mereka.

Panjang berkata, aktiviti pembalakan itu dipercayai berjalan sejak tahun lalu, namun mendapati bekalan air paip menjadi keruh sejak Ogos lalu selepas hujan lebat di kawasan itu.

"Walaupun hujan lebat sebelum ini, tidak pernah air paip kami bertukar menjadi keruh. Penduduk OA di Kampung Sungai Mahang dan lima lagi kampung memang menggunakan air tadahan dari bukit.

"Pada 17 Ogos lalu, hujan lebat melanda. Kemudian, kami mendapati air paip bertukar keruh. Sebelum ini tidak pernah berlaku kejadian seperti ini," katanya ditemui, hari ini.

Menurutnya, kegiatan pembalakan itu bakal memberi kesan kepada sumber makanan hutan, herba, haiwan serta kawasan rayau kira-kira 1,300 penduduk OA di enam kampung berkenaan.

"Kawasan pembalakan itu di dalam Wilayah Adat kami. Sebelum ini kami tidak membantah aktiviti berkenaan memandangkan ia mendapat kebenaran daripada kerajaan negeri.

"Bagaimanapun, sumber air di tiga kampung iaitu Kampung OA Tekir, Kampung OA Belihoi dan di Kampung Sungai Mahang sendiri kini terjejas. Justeru, saya meminta supaya pembalakan dihentikan segera," katanya.

PENDUDUK tiga Kampung Orang Asli membantah aktiviti pembalakan di jajaran Bukit Galla yang menjejaskan sumber air mereka. FOTO Ahmad Hasbi
PENDUDUK tiga Kampung Orang Asli membantah aktiviti pembalakan di jajaran Bukit Galla yang menjejaskan sumber air mereka. FOTO Ahmad Hasbi

Ketua Adat Belihoi, Langkap Kessu, 64, berkata, antara usaha yang dilakukan pihaknya adalah membuat laporan polis dan mengutus surat kepada Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

"Laporan polis dibuat pada 30 Ogos lalu. Surat aduan turut diutus kepada Aminuddin pada 21 Jun lalu dan surat kedua diutus pada 13 September lalu. Namun, sehingga kini, tiada sebarang perubahan," katanya.

Wakil Kampung OA Tekir, Juli Lanchong, 64, berkata, mereka membantah aktiviti pembalakan di kawasan Bukit Galla kerana ia akan menjejaskan kawasan penempatan OA pada masa akan datang.

"Sebelum ini, kehidupan kami aman dan harmoni. Kami tidak kacau orang luar dan hanya hidup di sini dengan sumber hutan seperti air, tumbuhan, herba dan memburu haiwan.

"Saya minta pihak berkuasa supaya mengarahkan semua jentera keluar dari bukit berkenaan. Hutan ini bukan untuk keuntungan, tetapi untuk kehidupan kami dan anak cucu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Oktober 2023 @ 12:48 PM