SAAD menunjukkan perakuan pentauliahan yang diterimanya. FOTO NSTP
SAAD menunjukkan perakuan pentauliahan yang diterimanya. FOTO NSTP
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Daripada hamba di tempat kurungan kepada jurulatih memanah. Perubahan itu berlaku kepada mualaf, Saad Kong, 50, yang kini menemui sinar dalam hidupnya selepas bergelar Muslim sejak setahun lalu.

Dia kini bahagia dengan kariernya sebagai jurulatih memanah bertauliah kepada 400 pelajar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya sejak beberapa bulan lalu dan menyifatkan ia penghijrahan terindah di dalam hidupnya.

Katanya, biarpun pernah mahir dalam sukan memanah moden yang diceburi sejak 30 tahun lalu, ia berbeza apabila dia mengikut cara sunnah diajar Rasulullah SAW.

Menurutnya, ia bermula pertengahan tahun lalu apabila seorang rakan mengajaknya mencuba sukan memanah berkuda dan ia menjadi pengalaman baru.

“Memang dulu pernah memanah, tapi untuk pertandingan. Tetapi apabila saya memanah secara sunnah dan dalam Islam, saya dapat rasakan ketenangan yang tidak boleh digambarkan sewaktu menghalakan busur ke sasaran.

“Tambahan pula, sebelum itu ada rakan yang tahu agama menceritakan pejuang Islam dulu memang terkenal dengan bidikan tepat, saya rasa diri saya terlalu kerdil. Tapi saya sangat gembira dengan jalan dipilih ini,” katanya.

SAAD mengajar orang ramai memanah di Masjid Besi Putrajaya. FOTO NSTP
SAAD mengajar orang ramai memanah di Masjid Besi Putrajaya. FOTO NSTP

Pada 4 Ogos tahun lalu, Harian Metro melaporkan penderitaan Saad yang dikerah menjadi hamba abdi selama lapan bulan di bengkel besi buruk kerana terikat hutang lebih RM30,000 dengan bekas rakan kongsi perniagaannya.

Sepanjang tempoh itu, dia hidup seperti buruh paksa dan diarah mengasingkan besi dan perlu bekerja dari jam 7 pagi hingga malam setiap hari tanpa cuti.

Dia hanya diberi makan nasi berlauk ikan sardin setiap hari serta tinggal dalam kontena bersama empat pekerja lain dan belajar solat melalui buku dijumpai dalam longgokan sampah.

Penderitaan Saad berakhir apabila dia melarikan diri dengan bantuan rakan dan membuat laporan polis.

Dia yang mendapat bantuan Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, tumpuannya kini untuk melengkapkan diri dengan ilmu agama dengan bantuan rakan.

“Saya tak tahu nak cakap apa, daripada belajar berdasarkan buku di longgokan sampah, kini saya belajar di masjid.

“Hari ini pula saya mengajar asas memanah kepada orang lain. Hati saya tersentuh apabila mengenangkan pemanah hebat Islam di zaman Rasululullah SAW. Ia membuatkan saya lebih yakin dengan Islam.

“Ada orang tanya apa beza memanah ketika bukan Islam dan kini. Jawapannya adalah ketenangan. Dulu memanah untuk cari habuan, sekarang saya memanah untuk pahala, diri dan ummah,” katanya.

SAAD bersama  pelajar kelas memanah. FOTO NSTP
SAAD bersama pelajar kelas memanah. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2018 @ 5:22 AM