Norizuan Shamsuddin

Kuala Lumpur: “Saya tidak pernah menyesal masuk tentera walaupun nyawa nyaris tergadai apabila lapan peluru menembusi badan akibat serangan hendap oleh sekumpulan anggota Parti Komunis Indonesia (PKI).

“Peristiwa hitam itu menguatkan lagi semangat juang saya untuk mempertahankan kemerdekaan tanah air,” kata veteran tentera, Muhamat Sular, 76.

Dia yang cacat kedua-dua tangan akibat terkena tembakan antara anggota yang terselamat sewaktu menyertai operasi menjejaki kumpulan PKI di Hutan Sungai Lebam, Kota Tinggi sewaktu era konfrontasi Malaysia-Indonesia.

Menurut Muhamat, walaupun peristiwa itu sudah 53 tahun berlalu, setiap detik yang berlaku sewaktu menyertai operasi terbabit masih segar dalam ingatan dan menjadi igauan ngeri buatnya.

Mengimbau kembali peristiwa itu, Muhamat berkata, selepas terpilih untuk menyertai Angkatan Tentera Malaysia, dia mula menjalani latihan di bawah Rejimen Askar Melayu Diraja di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson pada 28 Jun 1964.

Katanya, dia kemudian dipanggil untuk menjalani latihan rekrut di Rejimen Infantri Singapura bersama 100 anak Melayu yang lain susulan tercetusnya konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1960-an.

MUHAMAT berkongsi pengalaman sewaktu menyertai misi mengesan PKI di Sungai Lebam, Johor. FOTO NSTP
MUHAMAT berkongsi pengalaman sewaktu menyertai misi mengesan PKI di Sungai Lebam, Johor. FOTO NSTP

“Pada 24 Februari 1965, saya bersama 15 anggota daripada Platun Tujuh Kompeni C yang diketuai Sarjan Muhamad menaiki helikopter dan kami diturunkan di satu kawasan persisiran pantai berdekatan Sungai Lebam.

“Kami mendapat maklumat seramai 34 anggota PKI menyelusup masuk melalui Sungai Lebam dan diarahkan untuk mengesan mereka di kawasan berdekatan.

“Selepas empat hari kami melakukan operasi tinjauan di hutan berkenaan, bekalan makanan dan minuman yang dibawa mula berkurangan lalu kami diarahkan untuk mendirikan khemah di tepi Sungai Lebam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Sentul, di sini, baru-baru ini.

Muhamat berkata, sebelum mendirikan khemah, dua anggota sudah diarahkan meninjau sekitar sungai terbabit bagi memastikan kawasan itu selamat daripada ancaman musuh dan mereka tidak menemui sebarang perkara mencurigakan.

“Bagaimanapun, apabila kami siap mendirikan khemah, sekumpulan anggota PKI melakukan serbuan tanpa diduga kira-kira jam 5.30 petang.

“Sewaktu itu saya berada di tepi sungai untuk buang air dan secara tiba-tiba saya terdengar jeritan rakan memanggil nama saya, namun belum sempat memegang senapang untuk mempertahankan diri, pihak musuh menembak ke arah saya secara bertubi-tubi.

“Tembakan terbabit mengenai kedua-dua belah tangan (dua das), kaki kanan (dua das) dan dada (empat das) sebelum saya pengsan di tepi sungai itu manakala sembilan rakan terbunuh dan enam yang lain sempat menyelamatkan diri,” katanya

KESAN tembakan di paha Muhamat ketika berperang dengan PKI. FOTO NSTP
KESAN tembakan di paha Muhamat ketika berperang dengan PKI. FOTO NSTP

Menurutnya, dia mula sedar apabila air sungai pasang dan melimpah hingga terkena mukanya.

“Saya dapati ditinggalkan sendirian di lokasi kejadian dengan badan berlumuran darah mungkin disebabkan musuh menyangkakan saya sudah mati.

“Hanya Tuhan saja yang tahu betapa peritnya kesakitan yang saya alami ketika itu.

“Bayangkan dalam keadaan cedera parah dan badan dipenuhi darah, saya terpaksa merangkak mendapatkan air minuman yang dimasak sebelum serangan itu yang berada berdekatan khemah terbabit.

“Malah, saya hanya menghirup air minuman terbabit dengan hanya menggunakan mulut kerana kedua-dua belah tangan tidak dapat bergerak,” katanya.

Anak kelahiran Kampung Nyalas, Melaka itu berkata, dia terpaksa kuatkan semangat dengan melakukan ikhtiar hidup dan hanya bergantung kepada air sungai untuk teruskan kehidupan selama empat hari sebelum pasukan bantuan tiba di lokasinya.

KESAN tembakan di tangan Muhamat. FOTO NSTP
KESAN tembakan di tangan Muhamat. FOTO NSTP

“Pada 3 Mac 1965 kira-kira jam 2 petang, saya dapati sepasukan anggota mencari dan menyelamat tiba di lokasi dan saya dengan sekuat hati menjerit meminta bantuan.

“Susulan itu, anggota mencari dan menyelamat terbabit memberikan rawatan awal kepada saya dan pada keesokannya barulah semua anggota diterbangkan dengan menggunakan helikopter Royal Army Force sebelum dihantar ke Hospital Changi, Singapura,” katanya.

Muhamat berkata, dia menerima rawatan di hospital selama enam bulan dan mendapat khabar gembira daripada rakan memaklumkan pasukannya berjaya menembak mati 32 anggota PKI yang melakukan serangan terbabit.

“Bagaimanapun, apa yang menyedihkan apabila dimaklumkan mayat sembilan rakan yang terkorban ketika serangan itu ditemui dalam keadaan begitu menyayat hati apabila ada antara mereka dikerat anggota badan dan disembelih dengan kejam oleh anggota PKI,” katanya.

Menurutnya, selepas keluar dari hospital, dia dipindahkan ke Kementerian Pertahanan dan bertugas sebagai penjaga fail peribadi, rekod dan pencen selama 12 tahun.

“Saya kemudian dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Waran 2 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson dan berada di sana selama empat tahun sebelum bersara wajib pada 1986 di Kem Sungai Besi,” katanya.

GAMBAR kenangan sewaktu berkhidmat dalam tentera. FOTO NSTP
GAMBAR kenangan sewaktu berkhidmat dalam tentera. FOTO NSTP

Bapa empat anak itu berkata, sepanjang berkhidmat, dia menerima dua penghargaan iaitu Pingat Perkhidmatan Am pada 1966 dan Pingat Perkhidmatan Malaysia pada 1977.

Katanya, dia menerima dua lagi penghargaan selepas bersara iaitu Pingat Perkhidmatan Setia pada 1980 dan Pingat Jasa Malaysia lima tahun lalu.

Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban pesara tentera boleh menyalurkan sumbangan kepada Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia melalui Maybank (564717521826) atau CIMB Bank (8602700401).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Ogos 2018 @ 9:56 AM