HAIWAN terancam yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan Polis
HAIWAN terancam yang dirampas dalam serbuan. FOTO ihsan Polis
Abdul Rahemang Taiming

POLIS menahan empat lelaki termasuk seorang warga asing kerana disyaki memiliki spesis haiwan dilindungi dalam serbuan di bilik penginapan di Komplek Fajar, Tawau, kelmarin.

Serbuan dijalankan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau, susulan maklumat dan risikan kira-kira 11 pagi

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, ketika serbuan suspek yang berusia antara 30 hingga 60 tahun itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan.

Katanya, pemeriksaan awal yang dijalankan pihak polis tidak menemui apa-apa barang salah pada tubuh mangsa.

“Namun selepas pemeriksaan lanjut di dalam bilik penginapan itu, menemui beberapa kotak yang mencurigakan.

“Sebaik diperiksa, kotak berkenaan mengandungi beberapa cicak tokek atau nama saintifiknya ialah Gekko Gecko berada dalam sangkar yang berasingan dalam keadaan berkunci,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fadil berkata, haiwan berkenaan adalah antara spesis haiwan terancam yang dilindungi oleh Jabatan Hidupan Liar mengikut Akta 716, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

“Seterusnya ujian saringan air kencing turut mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala haiwan yang rampas diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Tawau untuk tindakan lanjut.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatka supaya tidak terpedaya dengan kepercayaan bahawa haiwan mampu menyembuhkan sebarang penyakit selain tawaran harga yang tinggi di pasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Februari 2019 @ 8:28 AM