LEE Chong Wei. FOTO Amran Hamid
LEE Chong Wei. FOTO Amran Hamid
Helmi Talkah


Kuala Lumpur: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menegaskan status sebagai pemain nombor satu dunia bukan keutamaannya ketika ini biarpun mempunyai peluang untuk kembali merampas kedudukan itu.

Chong Wei yang kini menghuni ranking nombor dua dunia berpeluang merampas kedudukan teratas dunia daripada Viktor Axelsen dari Denmark jika berjaya meraih kejayaan pada kejohanan Seluruh England di Birmingham dari 14 hingga 18 Mac depan.

Axelsen, juara dunia 2017, hampir pasti tidak menyertai kejohanan di Birmingham itu selepas baru selesai menjalani pembedahan buku lali pada 15 Februari lalu, sekali gus menyaksikan dia perlu berehat sekurang-kurangnya tiga hingga lima minggu.

“Bagi saya status sebagai pemain nombor satu dunia sudah tidak penting lagi apatah lagi saya pernah merasainya untuk tempoh selama enam hingga tujuh tahun sebelum ini. Apa yang paling penting adalah fokus untuk menghadapi kejohanan utama seperti Sukan Komanwel, Piala Thomas dan Sukan Asia.

“Saya tidak mahu letak sasaran mengenai perkara itu kerana bagi saya jika saya boleh kekalkan prestasi terbaik, untuk kembali menjadi pemain nombor satu dunia bukanlah masalah,” kata Chong Wei.

Berdasarkan undian, Chong Wei yang juga juara bertahan berdepan laluan sukar dalam misi memburu gelaran kelima Seluruh England.

Dia akan membuka tirai saingan menentang pemain Brazil, Ygor Coelho dan akan bertemu sama ada pemain Denmark, Jan O Jorgensen atau Lee Dong Keun dari Korea Selatan pada pusingan kedua.

Juara dunia lima kali dari China yang juga musuh tradisinya, Lin Dan dijangka menanti pada suku akhir.

“Siapa lawan sudah tahu dan sekarang saya perlu fokus kepada persiapan diri sendiri. Saya akan bincang dengan jurulatih untuk buat persiapan bagi menghadapi setiap lawan yang akan saya temui,” katanya yang menjuarai Seluruh England pada 2010, 2011, 2014 dan 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 5:54 AM