MOHAMAD Arifuddin (kanan) bersama adiknya. FOTO Shahrinnahar Latib
MOHAMAD Arifuddin (kanan) bersama adiknya. FOTO Shahrinnahar Latib
Shahrinnahar Latib

Kuantan: “Saya mohon kepada orang ramai mendoakan kesejahteraan anak sulung saya. Dia sudah 20 kali menjalani rawatan radioterapi dan sehingga hari ini sudah lengkap semua prosedur rawatannya, tetapi keadaan anak masih tidak berubah,” kata Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, bapa kepada Mohamad Arifuddin, 9, yang disahkan menghidap kanser sarcoma atau kanser tisu.

Muhammad Arifuddin menghidap kanser tisu tahap empat sehingga menyebabkan biji mata kirinya tersembul keluar dan doktor mengesahkan mata kanannya buta.

Mohd Nor Hafis yang berasal dari Klang, Selangor berkata, pada Januari lalu doktor mengesahkan ada tumor di kepala anaknya, tetapi selepas pemeriksaan susulan dilakukan dia dikesan menghidap kanser tisu.

“Saya perasan pada mulanya anak kerap mengadu sakit kepala, apabila doktor periksa dia disahkan menghidap kanser.

“Sel kanser yang menyerang menyebabkan bola mata anak saya tersembul dan buta, mula-mula hanya satu mata sekarang dua-dua mata sudah tidak nampak,” katanya.

Katanya, Mohamad Arifuddin kini di rumah bapa mentuanya di FELDA Bukit Damar, di sini, buat sementara waktu sebelum pulang ke rumah sewanya di Pangsapuri Meru Impian, Jalan Hamzah Alang, Klang.

“Memang kami akui perit ketika ini, saya dan isteri tidak bekerja kerana terpaksa menjaga anak sulung yang sakit dan dua lagi anak yang masih kecil,” katanya.

Bapa kepada tiga anak berkata, ia dugaan besar baginya kerana anak sulungnya berubah dari seorang yang sihat dan aktif kepada langsung tidak bermaya dalam sekelip mata.

“Masa dia sihat berat badannya 45 kilogram, tak sangka dalam tempoh setahun fizikalnya berubah ketara. Dulu dia mampu duduk atas kerusi roda, sekarang langsung tidak mampu, hanya baring saja setiap hari,” katanya.

Mohd Nor Hafis berkata, dia dan isteri Norazlin Mohamad, 28, lega apabila Lembaga Zakat Selangor menyalurkan bantuan RM250 sebulan untuk bayaran rumah sewa.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menghubunginya di talian 011 23112521 atau melalui akaun Maybank 162843066209 atau CIMB 7063363584 atas nama Mohd Nor Hafis Abd Aziz.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 7:01 AM