PEMANDANGAN kampung Albinen di daerah Valais, Switzerland yang popular dengan kawasan pergunungan yang indah. FOTO Agensi
PEMANDANGAN kampung Albinen di daerah Valais, Switzerland yang popular dengan kawasan pergunungan yang indah. FOTO Agensi
Agensi

Zurich: Sebuah kampung di Switzerland yang berdepan masalah kekurangan penduduk menawarkan wang tunai kepada mana-mana keluarga yang mahu tinggal di penempatan itu.

Kampung Albinen di daerah Valais terletak di kawasan pergunungan yang indah tetapi penghijrahan penduduk menyebabkan penempatan itu semakin sepi.

Penempatan itu kini mempunyai kira-kira 240 penduduk tetapi jumlah berkenaan semakin merosot akibat kematian dan penghijrahan.

Keadaan itu menyebabkan sebuah sekolah di kampung itu terpaksa ditutup kerana kekurangan murid.

Bagi mengatasi masalah itu, majlis tempatan akan mengundi satu cadangan bagi menyelamatkan penempatan itu yang berusia ratusan tahun.

Dalam cadangan itu, orang luar yang mahu tinggal di kampung berkenaan akan dihadiahkan wang tunai berjumlah AS$71,000 (RM292,328).

Jumlah itu akan dibayar kepada satu keluarga yang mempunyai empat ahli yang mahu berpindah ke Albinen.

Majlis tempatan didesak penduduk untuk meluluskan cadangan itu kerana mereka yakin ia akan menjamin masa depan perkampungan berkenaan.

Bagaimanapun, seorang wakil penduduk, Beat Jost memberitahu, mereka yang mahu tinggal di kampung itu mesti mematuhi beberapa syarat.

“Mereka yang mahu tinggal di sini mesti menetap sekurang-kurangnya selama 10 tahun dan membeli rumah atau mengubahsuai mana-mana kediaman di kampung ini.

“Sekiranya mereka berpindah ke kawasan lain sebelum tamat tempoh itu, mereka perlu membayar setiap sen yang mereka terima,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 4:50 AM