SHAFIQ (kiri) dan Baharudin menunjukkan sisa dapur dan garaj yang dirobohkan di kawasan tapak cadangan pembinaan asrama pekerja asing. FOTO Hassan Omar
SHAFIQ (kiri) dan Baharudin menunjukkan sisa dapur dan garaj yang dirobohkan di kawasan tapak cadangan pembinaan asrama pekerja asing. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar
am@hmetro.com.my


Melaka: Penduduk Kampung Pantai Rombang, Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, yang bimbang rusuhan pekerja asing di asrama pada malam 12 Ogos lalu berulang, membantah cadangan pembinaan asrama seumpama itu di kampung berkenaan.

Penduduk mendakwa, pembinaan asrama pekerja kilang pembuatan sarung tangan itu bakal menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

Mereka tidak mahu kejadian rusuhan pekerja warga Bangladesh di asrama kilang tekstil di Kampung Pantai Jaring, kira-kira 900 meter dari Kampung Pantai Rombang, berulang.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pantai Rombang Shafiq Majid berkata, sebuah syarikat dikatakan membeli tanah seluas kira-kira 0.8 hektar di kampung itu untuk membina kilang pembuatan sarung tangan.

"Tanah itu bersebelahan dengan enam rumah penduduk yang sudah dibina puluhan tahun. Pemilik rumah diarahkan merobohkan struktur garaj dan dapur kerana ia termasuk dalam kawasan tanah yang dibeli syarikat terbabit.

"Penduduk tidak keberatan untuk berbuat demikian tetapi mereka tidak setuju asrama pekerja asing dibina di kawasan itu," katanya ditemui di lokasi berkenaan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini, pemilik syarikat pembuatan sarung tangan di Kawasan Perindustrian Tangga Batu itu tidak pernah mengajak pemimpin kampung berbincang berkaitan cadangan pembinaan asrama terbabit.

Penduduk, Baharudin Ma'asah, 54, berkata, dia dan lima pemilik rumah berhampiran sempadan tanah itu merobohkan garaj dan dapur masing-masing pada Mei lalu.

"Sejak berpuluh tahun lalu, tanah itu hanya dipenuhi semak-samun. Kami tidak tahu siapa pemilik sebenar tanah hinggalah wakil syarikat sarung tangan datang dan mengarahkan kami merobohkan dapur dan garaj," katanya.

Baharudin berkata, rusuhan pada minggu lalu bukan setakat mengancam keselamatan penduduk kampung, malah mewujudkan suasana tidak harmoni di kawasan sekeliling asrama, termasuk Kampung Pantai Rombang.

Kata Baharudin, dia difahamkan, lebih 1,000 pekerja asing dicadangkan ditempatkan di asrama itu.

"Kami bimbang ia akan mendatangkan risiko gejala sosial yang berpunca daripada pekerja asing," katanya.

Sementara itu, EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abd Ghafaar Atan berkata, tanah berkenaan adalah milik syarikat terbabit dan berdasarkan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), majikan diwajibkan menyediakan tempat tinggal pekerja.

Kata Abd Ghafar, kawasan itu adalah penempatan penduduk kampung berkenaan dan tidak menjadi kesalahan untuk syarikat itu membina tempat tinggal pekerja berdasarkan statusnya sebagai kawasan penempatan dan bukannya kawasan perindustrian.

Sehubungan itu, Abd Ghafar meminta penduduk kampung berbincang dengan syarikat berkenaan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad dilaporkan berkata, pada kejadian jam 10.30 malam Khamis lalu, sebahagian daripada keseluruhan 680 pekerja asing di asrama kilang itu pembuatan sarung tangan merusuh selepas seorang rakan mereka ditemukan tidak sedarkan diri.

Seorang pengawal keselamatan dan beberapa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki kawasan asrama untuk mengambil pekerja terbabit tetapi rakannya tidak puas hati kerana mendakwa pengawal keselamatan gagal mengambil tindakan segera bagi menyelamatkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:06 PM