IDENTITI mayat pendaki itu disahkan menerusi ujian DNA. FOTO Kanton Valais, Switzerland.
IDENTITI mayat pendaki itu disahkan menerusi ujian DNA. FOTO Kanton Valais, Switzerland.
Agensi

Zurich: Polis mengesahkan satu mayat ditemukan pada glasier yang mencair di pergunungan Switzerland, adalah pendaki Jerman yang hilang sejak 1986.

The Guardian melaporkan pendaki gunung itu hilang ketika menyeberangi glasier berhampiran Gunung Matterhorn hampir 40 tahun lalu, dan akhirnya mayat pendaki itu ditemukan di dalam ais yang mencair.

Dua pendaki menemui satu mayat pada 12 Julai lalu ketika mendaki di sepanjang Theodul Glacier di Zermatt, Valais, selatan Switzerland, kata polis pada Khamis.

Pencairan glasier mendedahkan mayat itu yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pendaki Jerman.

Polis dari Kanton Valais dalam satu kenyataan berkata, analisis menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA) membawa kepada pengecaman identiti seorang pendaki gunung yang hilang sejak 1986.

"Pada September 1986, seorang pendaki Jerman yang berusia 38 tahun pada masa itu, dilaporkan hilang selepas tidak pulang dari pendakian," kata polis dalam satu kenyataan.

Polis bagaimanapun tidak memberikan maklumat tambahan mengenai identiti pendaki atau keadaan kematiannya.

Mereka hanya menerbitkan gambar tapak penemuan, but mendaki dengan tali merah melekat di salji.

Polis berkata, analisis forensik dijalankan ke atas mayat di Hospital Valais di bandar Sion, dan pakar mengaitkannya dengan kehilangan pendaki itu pada 1986.

Sekurang-kurangnya 300 orang dilaporkan hilang di pergunungan Alps sepanjang abad lalu, menurut anggaran beberapa pihak.

Mayat beberapa orang yang hilang ditemukan ketika glasier mencair akibat krisis iklim.

Sembilan tahun lalu, mayat dua askar Austria yang terkorban semasa Perang Dunia Pertama ditemukan di pergunungan Alps Itali berhampiran bandar peranginan kecil, Peio, yang terkenal dengan aktiviti ski.

Tahun lalu, pakar merekodkan kadar kecairan paling teruk glasier di Switzerland sejak lebih seabad lalu.

Glasier kehilangan enam peratus daripada jumlahnya iaitu hampir dua kali ganda daripada rekod sebelumnya pada 2003.

Glasier Switzerland kehilangan separuh jumlahnya antara 1931 dan 2016, dan 12 peratus lagi antara 2016 dan 2021, menurut satu kajian yang diterbitkan pada 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Julai 2023 @ 12:27 PM