FARID Kamil (kanan) dan Lia Natalia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
FARID Kamil (kanan) dan Lia Natalia. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal


Bukan sekadar kisah cinta tiga segi yang menyentuh emosi, filem genre romantik Kau Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali ada kelainan untuk menarik penggemar filem tanah air.

Filem ini menampilkan gandingan mantap Farid Kamil, Shaheizy Sam dan Ayda Jebat selaku teraju utama.

Tidak ketinggalan penampilan barisan pelakon pembantu iaitu Lia Natalia dan Normah Damanhuri.

Farid ketika ditemu bual RAP berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem ini kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Saya melakonkan watak Dr Hasnan yang turut memberi dimensi baru dalam karakter seorang doktor.

“Secara kebetulan, ada anggota keluarga yang bertugas sebagai doktor dan ia memudahkan saya membuat rujukan dalam menjiwai watak, pemikiran dan tingkah laku seorang doktor,” katanya.

Mengenai gandingan dengan Sam pula, kata Farid, dia memang suka bekerja dengan pelakon berbakat besar dan ‘versatile’ seperti Sam dalam filem genre sedemikian.

“Saya bangga dapat berganding dengan Sam kerana dia menjadikan cerita ini lebih menarik.

“Ayda pula bintang baru sebagai heroin yang memiliki pakej lengkap dalam bidang lakonan. Bekerja dengan Ayda juga beri dimensi baru kepada saya sebagai pelakon dan tertarik dengan wataknya,” katanya.

Farid berkata, keserasian gandingan mereka bertiga juga dicetuskan pengarah sendiri.

“Kami juga mengikuti kelas lakonan dengan Ogy Ahmad Daud selama tiga minggu untuk menterjemahkan watak masing-masing dengan baik sekali,” katanya.

Bercerita pengalamannya di lokasi, Farid berkata, dia menimba pengalaman berharga ketika penggambaran filem itu lebih dua minggu di New Zealand sebelum ini.

“Apa yang mencabar, kami terpaksa berdialog dalam cuaca sejuk dan bersalji. Kami juga sukar bernafas dalam cuaca begitu.

“Mujur pihak produksi mengambil berat kesukaran yang kami lalui untuk berdialog ketika itu dan menyediakan teh O panas untuk kami menyiapkan babak di sana,” katanya.

Dari segi kutipan, Farid juga yakin filem itu akan mencecah kutipan ‘box office’ apabila ditayangkan nanti.

“Filem genre cinta dan romantik sentiasa menjadi pilihan penonton tempatan. Kau Pinjamkan Hatiku bukan saja filem cinta tetapi mengangkat tema pengorbanan dan mampu menarik penonton baru ke pawagam,” katanya.

Lia jatuh motosikal ketika penggambaran

Lia berkata, dia turut berdepan cabaran ketika melakonkan watak Latifah yang juga kawan baik kepada Laila (lakonan Ayda) dalam filem itu.

“Saya akui gementar ketika bergandingan dengan pelakon hebat seperti Sam dan Farid. Selain bimbingan daripada Osman, saya juga mengikuti kelas lakonan dengan Ogy sebelum penggambaran berlangsung,” katanya.

Lia mengakui watak Latifah banyak bermain dengan emosi dalaman sekali gus mencabar kemampuannya dalam lakonan.

“Saya mengalami ‘slip disc’ ketika jatuh dari motosikal ketika penggambaran di kawasan berbukit. Ia membuatkan saya terpaksa menjalani fisioterapi dan berehat seminggu sebelum kembali ke lokasi penggambaran,” katanya.

Namun, Lia tidak serik untuk bekerjasama dengan Osman dalam filem lain selepas ini.

“Ia kali pertama saya bekerja dengan Osman dan dia banyak membantu menjiwai watak di lokasi.

“Pelbagai dugaan dilalui barisan pelakon dan kru ketika penggambaran filem ini dan saya berharap filem ini akan mendapat sambutan hangat di pawagam tanah air nanti,” katanya.

Filem terbitan Aurawhite Global Sdn Bhd dengan kerjasama Nuansa Film Sdn Bhd ini akan mula ditayangkan 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 4:14 AM