NABILA (dua dari kanan) bersama pelakon filem Telaga Surinam, Scha Alyahya (kiri), Maya Karin (dua dari kiri) dan Farid Kamil (kanan).
NABILA (dua dari kanan) bersama pelakon filem Telaga Surinam, Scha Alyahya (kiri), Maya Karin (dua dari kiri) dan Farid Kamil (kanan).
Zaara Talita


"OSMAN Ali berjaya membisukan saya. Buat kali pertama saya mencabar diri membawakan watak yang harus dijayakan bukan menerusi dialog sebaliknya ekspresi muka".

Demikian keterujaan pelakon dan pengacara, Nabila Huda yang menerima tawaran pengarah Osman Ali tanpa berfikir panjang untuk berlakon sebagai orang bisu dalam filem Telaga Surinam.

Nabila berkata, dia sudah lama menyimpan impian untuk berlakon di bawah arahan pengarah berkaliber itu.

"Saya belum pernah membawakan watak orang bisu sebelum ini. Watak Maimon itu adalah seorang yang mengalami trauma sejak kecil yang membuatkan dirinya menjadi begitu. Cuma, saya tidak boleh berkongsi lebih lanjut kerana belum memulakan penggambaran lagi.

"Boleh dikatakan hanya sedikit saja dialog untuk filem ini. Senang cerita, hanya abang Osman saja yang berjaya membisukan saya. Sejujurnya sudah lama saya menantikan watak begini, jadi bila ditawarkan saya terus bersetuju.

"Mungkin seminggu dua sebelum memulakan penggambaran saya akan mendiamkan diri untuk menjiwai watak? Saya sudah dapat membayangkan watak itu cuma 'roh' Maimon belum masuk lagi," katanya.

Walaupun terikat dengan komitmen sebagai pengacara program Melodi, namun Nabila 'mengosongkan' jadual demi watak Maimon dalam filem berkenaan yang bakal memulakan penggambaran 20 Januari ini.

NABILA teruja bawa watak orang bisu.
NABILA teruja bawa watak orang bisu.

"Mungkin saya akan berulang-alik dari Perlis ke Kuala Lumpur kerana tanggungjawab sebagai pengacara Melodi. Kerjaya dalam bidang lakonan memang keutamaan, namun komitmen sebagai hos juga perlu dilaksanakan.

"Memandangkan sudah lama saya mengidam untuk bekerja dengan abang Osman, maka saya berusaha sedaya upaya membahagikan masa. Saya mula meminati arahan abang Osman sejak dia mengarahkan filem Anak Halal," katanya.

Selain Nabila, filem seram itu juga dibintangi Farid Kamil, Maya Karin dan Scha Alyahya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 6:20 AM