BADRUL  (dua dari kanan) melihat jalan rosak di Kampung Padang Cik Mas.
BADRUL (dua dari kanan) melihat jalan rosak di Kampung Padang Cik Mas.
Safuri Kamarudin


Baling: Keadaan jalan utama di Kampung Padang Cik Mas, Pulai, di sini, yang rosak teruk sejak sebulan lalu dikhuatiri mengundang kemalangan kepada penduduk dan perlu diambil tindakan pembaikan segera oleh pihak berwajib.

Difahamkan, lebih 1,000 penduduk di kampung terbabit bukan saja terpaksa mempertaruhkan nyawa melalui jalan yang berlubang terutama penunggang motosikal.

Penduduk mendakwa di jalan itu juga terdapat satu lubang sedalam satu meter menyebabkan ia tidak dapat dilalui kenderaan termasuk kereta, sekali gus merencatkan aktiviti mereka untuk membawa hasil pertanian dipasarkan.

Penduduk, Adnan Abd Rahman, 45, berkata, jalan itu menghubungkan kampung untuk ke Pekan Baling melalui Kampung Jenalik.

Katanya, jalan itu rosak teruk sejak sebulan lalu selepas berlaku hakisan tebing dan tanah runtuh akibat banjir baru-baru ini.

“Runtuhan tanah menimbus aliran anak sungai sehingga berlubang, sekali gus jalan terturap pecah dan terhakis.

“Kami bimbang anak kecil dan pelajar sekolah terjatuh dalam lubang itu kerana mereka setiap hari menggunakan jalan itu ke sekolah,” katanya.

Adnan berkata, beberapa tempat di sepanjang jalan itu turut terhakis dan akan berlaku runtuhan sekiranya hujan lebat.

Penduduk, Ali Md Zain, 66, berkata, kerosakan jalan menghalang kelancaran penduduk keluar ke pekan dan sekolah.

“Saya berharap pihak berwajib menangani masalah berlaku dan dibaik pulih segera,” katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Pulai, Badrul Hisham Che Li berkata, jalan itu tersenarai untuk dilaksana pembaikan segera demi kemudahan penduduk.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Baling menyenarai dalam bajet untuk membaik pulih jalan yang rosak itu dan memanjangkan kepada pihak atasan.

“Kami menunggu peruntukan untuk membaiki jalan itu kerana ia rosak teruk.

“Insya-Allah dalam masa terdekat kita berusaha menangani masalah yang berlaku,” katanya ketika melawat jalan di kampung berkenaan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:05 AM