NORIZAN bersama penduduk Taman Fadason menunjukkan jalan berlubang di sekitar kawasan taman itu.
NORIZAN bersama penduduk Taman Fadason menunjukkan jalan berlubang di sekitar kawasan taman itu.
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Masalah jalan berlubang di Taman Fadason, di sini, yang berlarutan lebih 10 tahun lalu mendapat perhatian apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan kerja-kerja penambahbaikan yang melegakan lebih 1,000 penduduk.

Ini kerana, mereka sebelum ini, penduduk umpama melalui jalan ‘tak siap’ dengan lubang seluas tiga meter di kawasan perumahan mereka menyebabkan ia menyukarkan pergerakan dan kerja seharian.

Wakil penduduk, Wong Ho Hock, 52, berkata, masalah itu lebih ketara sejak beberapa tahun lalu apabila jalan sedia ada mula rosak dan tidak dibaiki mengakibatkan ia bertambah teruk setiap kali musim hujan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kenderaan penduduk sering mengalami kerosakan kerana permukaan jalan yang begitu teruk, malah ada yang terpaksa meletakkan kereta agak jauh untuk mengelak daripada melalui jalan berlubang.

“Kawasan kami ini terletak tidak jauh dengan pusat bandar, tetapi jalan di sini berlubang teruk seperti di pedalaman.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kerana ada pemimpin yang prihatin, datang dan mendengar sendiri rintihan kami yang turut berdepan masalah kerosakan lif sejak beberapa tahun lalu,” katanya ketika menerima kunjungan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kepong Datuk Norizan Ali.

Sementara itu, Norizan berkata, pihaknya terpanggil membantu penduduk di situ mendapatkan infrastruktur terbaik dengan memanjangkan aduan kepada pihak berwajib memandangkan isu terbabit sudah berlarutan sejak sekian lama.

Katanya, wakil penduduk di situ ada menemuinya dan meminta bantuan untuk kerja-kerja pembaikan jalan masuk ke kawasan perumahan mereka yang rosak teruk serta menjejaskan kehidupan seharian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Februari 2018 @ 4:06 AM