Sarah Zulkifli


PENARIK kereta, Koong Swee Kwan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini selepas didapati bersalah membunuh pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysia (AmBank), Hussain Ahmad Najadi, empat tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ab Karim Ab Rahman juga menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap Koong, 48, kerana didapati bersalah cuba membunuh isteri pengasas Ambank itu, Cheong Mei Kuen, 53.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula daripada tarikh dia ditangkap pada 23 September 2013.

Ab Karim dalam penghakimannya berkata, mahkamah berpuas hati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

"Mahkamah juga mendapati bahawa keterangan tertuduh adalah tidak logik dan difikirkan semula semata-mata," katanya.

Koong didakwa membunuh Hussain, 75, di tempat letak kereta Tokong Cina Kuan Yin di No 4, Lorong Ceylon di sini antara 1.30 tengah hari dan 2 petang pada 29 Julai 2013 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Selain itu, dia juga berdepan pertuduhan cubaan membunuh Cheong di tempat dan pada masa sama mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pada 5 September 2014, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Azman Husin menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Koong atas tuduhan membunuh Hussain dan hukuman penjara 18 tahun kerana didapati bersalah cuba membunuh Cheong.

Bagaimanapun pada 14 Disember 2016, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Tan Sri Zulkifli Ahmad Makinuddin mengetepikan sabitan dan hukuman gantung sampai mati terhadap Koong dan memerintahkan kes itu dibicarakan semula di Mahkamah Tinggi.

Dalam kejadian itu, Hussain maut manakala isterinya cedera parah selepas ditembak dari jarak dekat di kawasan parkir kereta sejurus keluar dari tokong berkenaan selepas berunding mengenai urusan perjanjian tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2017 @ 12:13 PM