Asrizal Aris

 

“SAYA tak kecewa, tetapi bangga. Tahun depan saya akan cuba lagi dengan persembahan yang lebih mantap,” kata Abu Zarin Hussin, 32, yang terkandas pada pusingan suku akhir program pencarian bakat Asia's Got Talent di Johor Bahru.

Pada program itu, Abu Zarin melakukan aksi merbahaya mencium ular tedung selar di hadapan juri.

Rakaman persembahan yang disiarkan menerusi saluran AXN Khamis lalu menunjukkan juri, David Foster menyatakan dia tidak mahu melihat aksi merbahaya itu lagi.

Dia kemudian mengatakan 'tidak', diikuti dua lagi juri Anggun dan Jay Park yang membuat keputusan sama, menyebabkan Abu Zarin tersingkir.

Abu Zarin berkata, meskipun sedikit sedih kerana tidak layak ke pusingan seterusnya, dia tetap berbangga kerana itu adalah penampilan pertamanya di pentas Asia yang disertai ribuan individu berbakat dari seluruh Asia.

Katanya yang juga anggota bomba mengakui persembahan itu bukanlah aksi yang sebenar kerana dia keletihan selepas terpaksa menunggu di ruang persediaan peserta dari 9 pagi sebelum membuat persembahan pada 10 malam.

"Sepanjang menunggu saya tidak boleh keluar dari tempat itu, macam-macam perasaan ada. Penat dan tertekan, tambahan pula saya tidak cukup tidur kerana menguruskan ular saya untuk 'dipentaskan'.

"Namun saya ambil positif. Juri tidak mahu memilih saya kerana faktor keselamatan bukan kerana tiada bakat. Bagi saya persembahan mencium ular sudah sinonim di Malaysia, cuma tiada rezeki," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut anak jati Pasir Puteh, Kelantan itu, dia menyertai program pencarian bakat nombor satu Asia itu sejak Mei lalu selepas menerima sokongan padu daripada rakan sekerja dan netizen yang mengenalinya di laman sosial.

Meskipun berjaya melepasi pusingan awal, cabarannya terhenti di suku akhir yang mana video persembahan terakhirnya itu tular selepas ditayangkan di televisyen pada Khamis lalu.

Abu sebelum ini popular dengan video serta gambar yang memaparkan dia bermain dan membaca buku bersama ular tedung, bagaimanapun dia menafikan menuntut sebarang ilmu penunduk ular.

Katanya, dia hanya mempelajari sifat ular daripada bapanya yang juga seorang peminat ular dan mengikuti bapa membuat persembahan bermain ular sejak berusia lima tahun.

"Paling penting kita kena memahami sifat ular dan haiwan ini akan faham kehendak kita jika betul caranya.

"Ramai menyangka saya mempunyai ilmu penunduk ular atau ilmu kebal. Sebenarnya tidak, sudah lebih 10 kali saya dipatuk ular tedung malah pernah dua kali koma akibat kecederaan serius.

"Kali pertama saya koma selama 15 jam, kali kedua saya koma selama dua hari. Tapi saya tak pernah serik bermain dengan ular," katanya yang sudah 10 tahun berkhidmat sebagai anggota bomba.

Menurutnya, dia hanya akan berhenti bermain ular apabila menemui ajal dan kemahirannya mengawal haiwan berbisa itu menyebabkan video serta gambarnya sentiasa mendapat perhatian di Facebook miliknya, Wira Penyelamat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 4:08 PM
Aksi Abu Zarin bersama ularnya di Asia’s Got Talent. FOTO Ihsan FB Wira Penyelamat
Aksi Abu Zarin bersama ularnya di Asia’s Got Talent. FOTO Ihsan FB Wira Penyelamat