AKSI Abu Zarin mengendalikan ular tedung selar. FOTO ARKIB Nazirul Roselan
AKSI Abu Zarin mengendalikan ular tedung selar. FOTO ARKIB Nazirul Roselan
Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz; Mohd Rafi Mamat dan Nazirul Roselan


“ABU Zarin selalu datang melawat untuk memberi semangat ketika saya menerima rawatan di hospital akibat dipatuk ular tedung selar, enam tahun lalu.

“Sebaik dimaklumkan pemergiannya pagi tadi, sejujurnya saya terkejut dan sedikit ralat kerana ular juga penyebab kematiannya."

Begitu kata kakitangan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Mohd Sabron Jamil Kamaruddin, 30, yang terkena bisa patukan ular tedung selar betina dipanggil Hana pada 1 Mac 2012 hingga menyebabkan tangan kirinya tidak lagi berfungsi.

Mohd Sabron yang bertugas di Zoo Teruntum adalah rakan baik kepada anggota bomba Abu Zarin Hussin, 33, yang disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh, tengah malam tadi selepas dipatuk ular tedung, Isnin lalu.

Katanya, dia mula mengenali Abu Zarin yang popular dengan jolokan 'Wira Penyelamat' itu ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pada 2012 dan Abu Zarin banyak berkongsi cerita mengenai reptilia berkenaan.

“Saya masih ingat dia datang menziarahi saya dengan memakai uniform bomba dan bertanya khabar, itu kali pertama saya berjumpa dengannya.

“Selepas itu kami menjadi rapat dan sering bertukar-tukar pengalaman mengendalikan haiwan berbisa terbabit.

“Dia seorang rakan disenangi dan tidak sombong, malah tetap meminta nasihat daripada saya bagaimana berdepan ular walaupun dia sendiri sudah mempunyai banyak pengalaman," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Katanya, sebaik dimaklumkan mengenai pemergian Abu Zarin, dia terus bergegas ke Temerloh dan hanya sempat menziarahi jenazah di Plaza Tol Temerloh.

“Saya dan rakan menaiki dua kereta menuju ke Temerloh, namun dimaklumkan van jenazah sudah bertolak dari HOSHAS dan kami meminta kebenaran untuk berjumpa di plaza tol bagi melihatnya untuk kali terakhir,” katanya.

Sementara itu, pegawai Pejabat Hutan Daerah Temerloh Azqan Dalila Ahmad Tajudin, 32, berkata dia kini lebih berkeyakinan memegang ular berbisa seperti tedung selepas mengikuti kursus dikendalikan Abu Zarin pada Disember lalu.

"Dia (Abu Zarin) menunjukkan kami teknik betul termasuk penggunaan peralatan bersesuaian seperti alat penyepit apabila berdepan dengan ular.

“Ia cukup berguna kepada saya yang perlu masuk ke hutan menjalankan tugas dan berisiko besar berdepan ancaman haiwan berbisa itu," katanya.

Berita berkaitan

Pakar ular bomba meninggal dunia

Tergamam lihat abang bomba dipatuk ular

Dah tak takut pegang ular

'Tahun depan saya cuba lagi...' [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 4:04 PM