PENIAGA ikan melayan pelanggannnya yang membeli ikan di Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah.  FOTO Sharul Hafiz Zam
PENIAGA ikan melayan pelanggannnya yang membeli ikan di Pasar Seberang Kota, Kuala Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Idris MusaMuhaamad Hafis Nawawi dan Muhamaad Razis Ismail dan Nazdy Harun


Kuala Lumpur: Ikan semakin mahal, harga ditetapkan berbeza-beza mengikut gred, kesegaran dan premis jualan, sekali gus perlu tindakan bijak pengguna untuk membuat pilihan terbaik.

Tinjauan di beberapa pasar ikan dan pasar raya besar di Lembah Klang sejak beberapa hari lalu mendapati perbezaan ketara dari segi harganya.

Kembung, selar dan mabung bagi setiap kilogram (kg) di gerai basah sebuah pasar raya dijual pada harga RM12.99, RM14.99 dan RM10.99 manakala sebuah lagi pasar raya lain RM14.99, RM17.99 dan RM14.89.

Mungkin kelihatan lebih rendah jika dibandingkan dengan harga di pasar basah, misalnya kembung dijual pada RM17 hingga RM19 setiap kg. Namun, gred dan kesegarannya mungkin tidak sama.

Kakitangan kerajaan, Azri Yunus, 32, berkata dia mendapati harganya tidak lagi murah seperti dulu.

“Saya selalu juga membeli ikan, selain daging untuk keperluan di rumah. Saya kurang beli ayam. Harga ikan sekarang boleh tahan (agak mahal),” katanya.

NELAYAN membuat persiapan menyiapkan umpan ikan di LKIM Kuala Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
NELAYAN membuat persiapan menyiapkan umpan ikan di LKIM Kuala Besar. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Di Kota Bharu, Zabidah Jaafar, 53, berkata kenaikan harga ikan kebelakangan ini membebankan rakyat.

“Mak cik perlu peruntukan sehingga RM16 sehari untuk membeli ikan sahaja,” katanya.

Zabidah berkata, pada masa sama, dia perlu membeli barang keperluan lain seperti sayur dan barangan dapur.

Meskipun tertekan dengan kenaikan harga itu, dia tiada pilihan lain dan terpaksa juga membelinya kerana keperluan utama rumah.

“Harga ikan naik mendadak sejak kebelakangan ini menyebabkan keluarga terbeban. Pilihan ikan juga sangat terhad.

“Inipun mak cik beli terus daripada peraih untuk harga lebih murah berbanding di tempat lain,” katanya ditemui di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Besar, di sini.

Di Kuala Terengganu, pengguna, Fatimah Abdullah, 64, dari Kampung Panji, berkata dia berasa bimbang kerana harga ikan ketika ini seolah-olah seperti tiada kawalan.

Menurutnya, sebagai contoh harga pasaran bagi ikan selar ketika ini mencecah harga RM15 sekilogram dan ikan merah pula RM30 sekilogram.

Katanya, harga ikan yang tidak menentu juga mengakibatkan pengguna sukar membuat pilihan kerana ada hari harga ikan turun dan ada ketika meningkat hingga ada yang tidak berminat untuk membeli ikan.

MD Yunus  memilih ikan yang elok untuk dijual. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
MD Yunus memilih ikan yang elok untuk dijual. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

“Sekiranya musim ikan sukar diperoleh harganya semakin meningkat dan ia membebankan pengguna kerana terpaksa membeli dengan harga yang tinggi.

“Walaupun mempunyai pilihan seperti ayam dan ikan sangkar seperti patin, keli dan tilapia tetapi tidak sama seperti ikan laut yang menjadi pilihan sejak kecil,” katanya.

Di Alor Setar, Mohd Azhar Hamid, 42, berkata harga ikan akan menjadi mahal apabila tiba musim tengkujuh dan pernah mencecah RM15 sekilogram.

“Mahal atau murah bagi saya tetap kena beli sebab keperluan makanan tetapi tidak sampai merungut kerana kita faham sebab apa ia mahal.

“Lagi pun bukan selalu harga ikan itu mahal, sebaliknya ia bergantung pada musim kerana jika bekalan ikan banyak saya pernah membeli ikan temenung (kembung) RM2 sekilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2017 @ 8:03 AM